Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Tan Sri Annuar Musa mencadangkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai anggota parlimen kerajaan dan pembangkang ditubuhkan bagi membincangkan soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"Saya ingin cadangkan jawatankuasa yang dianggotai MP daripada semua pihak politik untuk duduk dan bincangkan (isu ini)," kata anggota parlimen Ketereh itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Kita perlu menjaga kepentingan mereka, jika kita nafikan mereka kerana ambil UEC, kita akan kehilangan mereka di tangan Taiwan, Oxford dan tempat lain," katanya.

Beliau berkata pelajar UEC perlu diberi peluang untuk menyertai pendidikan arus perdana.

Katanya lagi, pendirian Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN dalam soal pengiktirafan UEC tidak begitu berbeza, maka ada ruang untuk kedua-dua pihak membincangkannya.

Semua pihak tidak boleh mengikut emosi dan hanya melihat perkara itu daripada sudut kaum, katanya lagi.

"Ketika orang bercakap tentang UEC, ada banyak salah faham, ada yang keliru.

"Saya yakin ada cara untuk kita (lakukan sesuatu agar) ia mematuhi dasar pendidikan kebangsaan," katanya yang juga setiausaha agung Umno.

Beliau berkata perlu ada tolak ansur dalam isu itu dan tidak sukar untuk mencapainya kerana negara sudah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun.

Annuar mengingatkan bahawa pendidikan yang diberikan sekolah tinggi persendirian Cina selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau berkata Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) mungkin perlu mengubah kurikulum UEC agar mematuhi dasar pendidikan kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Beliau mencadangkan tiga alternatif untuk menjadikan UEC selaras dengan dasar pendidikan.

Pertama, katanya, pelajar UEC perlu mengambil 'kertas Julai' (peperiksaan ulangan SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah, bukan BM sahaja.

"Kedua, Dong Zong boleh mengubah kurikulum mata pelajaran BN dan Sejarah agar selari dengan kurikulum kebangsaan.

"Dan pelajar UEC juga boleh mengambil SPM. Ini sudah menjadi amalan ramai di kalangan mereka," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS