Pihak berkuasa Singapura merampas dadah jenis heroin dan ganja seberat 5.87 kilogram daripada seorang penunggang motosikal warga Malaysia yang cuba masuk ke negara itu di Pusat Pemeriksaan Tuas, semalam.

Dalam kejadian jam 7.35 pagi itu, seorang pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) mengarahkan pemeriksaan lanjut terhadap motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia yang ditunggang oleh suspek berusia 25 tahun.

Hasil pemeriksaan, pegawai itu menemui 912 gram heroin di bawah tempat duduk motosikal dan 986 gram ganja di bakul motosikal tersebut.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan ganja seberat 3.98 kilogram dilekatkan di beberapa bahagian di tubuh suspek yang memilik permit kerja negara itu.

Menurut kenyataan bersama ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB), bekalan ganja itu mampu menampung penggunaan 430 penagih untuk seminggu dan heroin itu untuk lebih 700 penagih untuk tempoh yang sama.

Isnin lalu, seorang pemuda Malaysia berusia 22 tahun ditahan di pusat pemeriiksaan yang sama apabila cuba menyeludup masuk 1.82 kilogram heroin ke negara itu dengan menaiki sebuah motosikal.

Dadah tersebut dalam enam bungkusan ditemukan dalam beg galas yang dibawa oleh suspek yang cuba melarikan diri ketika diperiksa oleh pegawai ICA.

-Bernama