Kerajaan perlu mencalonkan kepimpinan Khazanah Nasional Berhad baharu yang setaraf atau lebih baik daripada sembilan anggota ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut yang meletakkan jawatan semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini penting agar iklim pelaburan tempatan dan pelabur asing tidak terganggu ekoran peletakan jawatan terbabit.

“Peletakan jawatan semua sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad, patut ditangani oleh kerajaan agar tidak membantutkan pertumbuhannya serta GLC di bawah naungannya.

“Pembangkang tidak mahu menyentuh isu peletakan jawatan ini tetapi bimbang dengan kedudukan portfolio pelaburan asingnya serta kedudukan puluhan GLC di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khazanah Nasional Bhd semalam  mengesahkan laporan berita bahawa semua anggota lembaga pengarah, termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar telah menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Anggota lain adalah Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Md Nor Md Yusof, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, Datuk Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Khazanah dalam satu kenyataan berkata, langkah itu akan memudahkan peralihan yang lebih lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu.

Ahmad Zahid berkata, portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli pengarah itu dibuat secara 'tangkap muat' dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik.

“Jika diteliti kebolehan semua ahli lembaga pengarah, mereka ini benar-benar menerajui Khazanah dengan pengalaman dunia korporat seperti bank perdagangan serta Bank Negara Malaysia.

“Sebagai contoh, Khazanah yang memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings, IHH Healthcare dan memiliki Malaysia Airlines, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada kaunter di Bursa Malaysia.

Justeru beliau berkata, pembangkang berharap kerajaan akan 'menyelamatkan' keadaan ini secepat mungkin agar portfolio pelaburan Khazanah tidak terjejas dan menipiskan keyakinan pelabur asing yang beransur pulih pada masa ini.

- Bernama