Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta supaya Anggota Parlimen Stampin yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Chong Chien Jen menyatakan pendiriannya pemberian berhubung royalti minyak yang bakal diterima kerajaan negeri.

Ketua Whipnya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengerusi DAP Sarawak yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri itu dalam kempen-kempen lalu menawarkan royalti 20 peratus daripada pengeluaran minyak di Sarawak jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14.

“Namun perkara ini bercanggah sama sekali dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam persidangan Dewan Rakyat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“Persoalannya sekarang ialah apakah pendirian Chong mengenai tuntutan royalti 20 peratus itu... sama ada beliau akan terus bersama kerajaan negeri Sarawak untuk tidak berganjak menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran (berbanding lima peratus ketika ini), atau sudah berubah pendirian susulan perkembangan terbaru apabila kepimpinan Pakatan Harapan sendiri mengumumkan bahawa 20 peratus itu adalah daripada keuntungan bersih” tambahnya.

Fadillah berkata sekiranya Chong sudah berubah pendirian, bermakna beliau telah ‘mengkhianati’ janji dan harapan rakyat Sarawak serta perjuangan menuntut royalti 20 peratus daripada pengeluaran hasil minyak dan gas yang diperjuangkan kerajaan negeri.

“Apa yang jelas harapan rakyat Sarawak kepada kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menunaikan janji dalam manifesto HARAPAN untuk memberikan royalti 20 peratus berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis,” katanya.

- Bernama