Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Najib mungkin dibicarakan di depan hakim baru

EKSKLUSIF | Mungkinkah kes perbicaraan melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa akan dipindahkan untuk didengar oleh hakim yang baru?

Hal itu dibangkitkan ekoran hakim yang ditugaskan untuk kes itu, Datuk Sophian Abdul Razak, merupakan adik kepada salah seorang exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Mohd Soffi ialah pemimpin Umno yang terpilih menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Benta, Pahang, selama lima penggal dan terpilih menjadi exco sebanyak empat kali.

Secara kebetulan Najib berasal dari Pahang dan kini menjadi ketua Umno Pekan. Beliau juga bekas presiden Umno.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau tidak mengetahui latar belakang Sophian ketika ditanya wartawan selepas Najib didakwa.

Presiden Badan Peguam Malaysia George Varughese kemudian membangkitkan isu itu dan menggesa hakim terbabit menarik diri daripada mendengar perbicaraan Najib.

Katanya langkah tersebut perlu diambil bagi memelihara integriti badan perundanga, selain mengelak sebarang kemungkinan berlaku pertimbangan berat sebelah.

Lepasan MCKK

Berikutan perkembangan itu Malaysiakini dimaklumkan Sophian dijadual dipindahkan ke bahagian sivil mahkamah tinggi, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Dua sumber berbeza memberitahu Malaysiakini hakim terbabit akan bertugas di bahagian komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali - yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada April 2015 dan disahkan tahun lalu - bakal bertugas di bahagian jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tarikh kuat kuasa pertukaran Mohd Nazlan juga bermula pada 1 Ogos.

Sebelum ini beliau bertugas di bahagian komersial mahkamah sama.

Hakim S Nantha Balan pula dipilih mengisi tempat yang ditinggalkan Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan, 51, ialah bekas pelajat Maktab Melayu Kuala Kangsar dan menyambung pendidikannya di Universiti Oxford.

Selepas bertugas sebagai peguam di firma Zaid Ibrahim & Co selama lima tahun, Mohd Nazlan berpindah ke Suruhanjaya Sekuriti dan mengetuai unit penguatkuasaan badan itu.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Unit Korporat dan Perkhidmatan Undang-undang Maybank, selain naib presiden eksekutif bank terbabit sebelum menyertai bidang perundangan.

Malaysiakini difahamkan pekeliling arahan perpidahan itu sudah dikeluarkan. Bagaimanapun untuk rekod bukan Mohd Nazlan dan Sophian saja yang terlibat.

Lazimnya pertukaran itu turut membabitkan hakim-hakim di bahagian atau negeri lain.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Mohd Nazlan akan ditugaskan mendengar perbicaraan Najib kerana pengurusan kes bekas perdana menteri itu ditetapkan pada 8 Ogos ini.

Namun sumber-sumber membayangkan memang Mohd Nazlan akan ditugaskan mendengar perbicaraan tersebut.

Setakat semalam semakan Malaysiakini menunjukkan Sophian masih disenaraikan sebagai hakim yang akan mendengar perbicaraan ke atas Najib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS