Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarahan agama medium pupuk integriti, perpaduan nasional

ULASAN | Ada tiga kata kunci yang menjadi fokus perbincangan dalam isu ini: agama, integriti dan perpaduan (nasional). Tetapi yang akan diberi sorotan utama adalah agama, dengan penekanan pada aspek nilai-nilainya, terutama nilai-nilai yang dapat difungsikan sebagai kekuatan pendukung usaha pengukuhan integriti dan perpaduan nasional. Integriti seperti yang dihuraikan dalam kamus-kamus besar terkait erat dengan persoalan nilai, khususnya nilai akhlak atau moral seperti kejujuran, ketelusan dan ketulusan.

Integriti dalam pengertian tersebut tentunya akan menjadi lebih kuat andainya ia mengakar pada nilai-nilai agama. Seterusnya agama juga harus berfungsi sebagai kekuatan pemersatu, bukan faktor pemecah. Malaysia boleh menjadi contoh negara pelbagai kaum, agama dan budaya yang berjaya membina bangsa (Malaysia) yang bersatu dengan memanfaatkan kekuatan nilai-nilai pelbagai agama.

Agama dan integriti

Dalam masyarakat yang sedang mengalami masalah moral defisit, tema integriti memang wajar diangkat menjadi wacana nasional. Malah lebih daripada itu, menyaksikan kenyataan mewabaknya pelbagai jenayah seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk moral decadence atau kebejatan moral lainnya, diperlukan suatu gerakan moral atau moral movement oleh rakyat pelbagai kaum dan agama. Integriti bukan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian jika negara ini hendak diselamatkan. Partisipasi massa rakyat dalam perjuangan integriti akan menjadi lebih berkesan.

Masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya akan lebih merasa terpanggil jika perjuangan menegakkan integriti dipersepsikan sebagai perjuangan keagamaan. Dalam konteks agama Islam, membina akhlak mulia adalah maqasid al-bi`thah (objektif pengutusan Rasul) dan sekali gus dapat pula dianggap komponen maqasid al-shari'ah (objektif tertinggi syariat).

Demikian yang dapat disimpulkan dari sabda nabawi bahawa Junjungan Saw diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. Kerana itu semua hukum ibadat, munakahat dan jinayat mempunyai asas pijakan akhlak/moral. Masalahnya, pendidikan Islam ketika ini terlalu berorientasi hukum, dengan mengabaikan dimensi moralnya.

Antara nilai akhlak yang sangat dipentingkan dalam Islam ialah nilai malu. Nabi SAW bersabda bahawa setiap agama mempunyai akhlak sendiri-sendiri, dan akhlak Islam adalah malu (al-haya’). Justeru, sifat tahu malu itulah yang mengawal seseorang daripada melakukan sesuatu yang tidak bermoral.

Itulah yang dimaksudkan apabila Nabi SAW bersabda, “Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu!”.

Sifat tahu malu (sense of shame) itulah juga yang menjadikan seseorang itu manusia yang bermaruah (mempunyai dignity). Mungkin ini antara yang harus kita usahakan bersama, iaitu membina bangsa yang bermaruah dengan menghidupkan sense of shame atau sifat tahu

malu dalam kalangan rakyat. Apabila setiap orang berasa malu menjadi koruptor, malu menjadi penipu, malu diperbodoh dan seterusnya, akan banyak masalah dapat diselesaikan. Tidak akan ada lagi organisasi atau institusi yang korup apabila orang malu menganggotainya.

Suatu ketika orang Melayu memiliki kesedaran yang tinggi tentang sifat malu seperti yang mereka ekspresikan dalam ungkapan tradisional, “sehina semalu”. Ungkapan tersebut mengisyaratkan makna bahawa malu tidak hanya menjadi sifat individu, tetapi telah menjadi sifat kolektif suatu bangsa.

“Sehina semalu” bererti sama-sama hina dan sama-sama malu. Apabila negara ini disebut negara yang korup, atau disebut mengamalkan kleptocracy at its worst, yang seharusnya malu bukan hanya orang tertentu, tetapi semua rakyat dari segala kaum dan agama. Semua mereka berkongsi rasa “sehina semalu”.

Ternyata membina integriti tidak terlepas dari agenda besar membina watak atau karakter bangsa. Untuk itu pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni, khususnya nilai-nilai agama merupakan suatu keperluan. Dalam konteks umat Islam, sumber nilai utamanya ialah sifat-sifat dan nama-nama Indah Allah SWT. (al-Asma’ al-Husna).

Manusia Muslim memang dituntut untuk menghayati nama-nama Allah al-Rahman, al-Rahim, al-Qadir, al-Qawiy, al-Matin, al-Haqq, al-Salam, al-Mu’min, al-Hafiz, al-Hakim, al-Alim, al-Halim dan seterusnya, sejauh yang terdaya oleh kudrat keinsanannya.

Penghayatan Sifat-Sifat dan nama-nama Allah itulah yang dinamakan berakhlak dengan akhlak Allah (al-takhalluq bi akhladi ‘Llah). Ajaran berakhlak dengan akhlak Tuhan tidak hanya wujud dalam Islam. Ada juga agama-agama lain yang membawa ajaran yang sama.

Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe dalam buku mereka Jewish Wisdom for Business Success: Lessons from the Torah and Other Ancient Texts menyebut isu ini dalam bab 9 (The Way of the Wise: Finding the Right Balance of Character Traits to Succeed in Business).

Di bawah tajuk kecil, Learning How to Balance by Emulating God, mereka mengatakan:

...that humans are commanded to emulate God to the best of their abilities. This means that we are obliged to imitate the good deeds and lofty attributes by which God is metaphorically described. We must learn from the beautiful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them. Inherent in this commandment is useful wisdom for business and management.” (hlm. 193-195).

Karakter yang terbentuk hasil penghayatan akhlak Tuhan seperti yang diisyaratkan dalam petikan di atas memiliki dua ciri utama, iaitu keseimbangan (balance) dan hikmah kebijaksanaan (wisdom). Dengan karakter yang dibangun atas nilai-nilai akhlak ketuhanan yang seimbang dan bijaksana kita akan dapat membina integriti dan sekali gus perpaduan nasional.

Agama dan perpaduan bangsa

Telah berdekad-dekad lamanya kita berbicara tentang perpaduan nasional, persefahaman antara kaum, keharmonian antara agama dan lain-lain yang semakna.

Bilakah akan tiba masanya kita berbicara tentang bangsa Malaysia? Hingga ke saat ini ramai yang masih meragukan adanya bangsa Malaysia. Yang ada hanya warganegara Malaysia. Malah ada yang menyebut Malaysia sebagai a state without nation atau a state with several competing nations. Kegagalan membina satu bangsa Malaysia setelah lebih enam puluh tahun merdeka adalah suatu aib nasional yang harus segera ditangani.

Sempena era Malaysia baharu, kita harus buktikan bahawa agama bukan penghalang, tetapi sebaliknya pendorong kepada pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu. Dengan kata lain, agama bukan pemecah, tetapi sebaliknya sebagai kekuatan pemersatu.

Telah sekian lama tamadun-tamadun besar dunia (Islam, Barat dan Timur) bertemu di sini, berinteraksi dan berdialog sehingga kita boleh berbangga bahawa daerah ini adalah yang paling kaya dengan pengalaman dialog ketamadunan. Dialog ini seharusnya diteruskan ke tahap pelaksanaan eksperimen besar social engineering membina bangsa Malaysia berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Kepelbagaian harus diterima seadanya sebagai ciptaan, kurnia dan takdir Tuhan yang mengandungi hikmah tersendiri. Kerana itu ia harus disikapi secara positif dan ditangani dengan optimistik. Menurut perspektif Islam kepelbagaian (bangsa dan agama) wujud dengan kehendak Tuhan yang bertujuan untuk membina kesalingan, bermula dengan saling mengenal (lita`arafu) dan seterusnya saling menghormati, saling bertukar manfaat, saling memperkaya dan saling bekerjasama.

Kepelbagaian yang dipersepsi dengan benar dan diurus dengan matang dan bijaksana akan menghasilkan kesatuan yang kompak dan membuahkan tamadun yang kaya. Justeru, sebuah pasukan yang baik adalah pasukan yang terdiri daripada anggota yang beragam dan pelbagai keahlian. Ini bererti kepelbagaian adalah kekuatan.

Islam adalah agama rahmat dan kemanusiaan sejagat. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmatan li al-`alamin. Apabila al-Qur’an menyebut umat Islam sebagai umat terunggul (khayra ummah), mereka diberikan beberapa ciri, termasuk sumbangan khidmat manfaat kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat li al-nas) - Muslim dan bukan Muslim; di samping komitmen menegakkan nilai-nilai murni kemakrufan dan melawan nilai-nilai buruk kemungkaran. Sebenarnya perintah bekerjasama atau tolong-menolong demi kebaikan dan ketaqwaan (wata`awanu `ala al-birr wa al-taqwa) dalam al-Quran tidak hanya sesama umat Islam. Konteks ayat tersebut jelas mengisyaratkan kerjasama dan tolong-menolong dengan orang bukan Islam.

Prinsip dasar Islam dalam menyikapi kepelbagaian adalah salam (damai). Kata salam begitu banyak digunakan dalam pelbagai konteks. Salam adalah nama Tuhan, salam adalah nama syurga, salam adalah ucapan hormat orang Islam, dan salam adalah kata penutup sembahyang. Kata salam diungkapkan dalam bahasa Melayu dengan kata selamat sebagai penyesuaian dari kata salamah.

Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling banyak menggunakan kata selamat, terutama sebagai kata alu-aluan, doa dan kesyukuran: doa selamat, telah selamat sampai, selamat datang, selamat jalan, selamat hari raya, selamat pengantin baharu, selamat bertugas dan sebagainya lagi. Banyaknya kata selamat yang dipakai dalam pelbagai konteks mengisyaratkan kekentalan semangat damai dalam jiwa dan budaya Melayu. Semangat damai yang sedemikian telah banyak membantu pembinaan budaya hidup berdampingan dengan kaum dan penganut pelbagai agama dengan damai dan harmonis (peaceful coexistence).

Semangat damai diperkuat pula dengan semangat persaudaraan yang tidak hanya terbatas dalam kalangan sesama Islam, tetapi meliputi persaudaraan setanah air dan persaudaraan warga kemanusiaan. Persaudaraan sesama umat Islam memang ada, dan itulah yang dinamakan ukhuwwah diniyyah (persaudaraan keagamaan). Tetapi lingkaraan persaudaraan boleh meluas meliputi sesama warga negara yang dinamakan ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanah air). Seterusnya lingkaran tersebut meluas lagi meliputi seluruh warga kemanusiaan yang dinamakan ukhuwwah insaniyyah/bashariyyah (persaudaraan sewarga kemanusiaan).

Yang meluas meliputi seluruh warga kemanusiaan tidak hanya lingkaran persaudaraan (ukhuwwah), tetapi juga lingkaran ummah yang secara literal merujuk makna kumpulan yang berkongsi ciri-ciri persamaan tertentu. Kata ummah selalu dipakai dalam pengertian keagamaan seperti ummah Islamiyyah (umat Islam).

Ummah dalam pengertian tersebut dinamakan ummah diniyyah (umat keagamaan). Tetapi kata ummah boleh juga dipakai dalam pengertian politik yang meliputi seluruh warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Ummah dalam pengertian sedemikian itulah yang dinamakan ummah siyasiyyah (umat politik) sebagaimana yang dipakai dalam Piagam Madinah.

Piagam tersebut memakai kata ummah dalam kedua-dua pengertian di atas dengan menyebut kaum Muslimin adalah satu ummah, dan kaum Yahudi juga satu ummah. Kata ummah dalam konteks ini bererti ummah diniyyah (umat keagamaan) dengan implikasi bahawa kedua-dua kaum Muslimin dan Yahudi kekal dengan agama dan jati diri masing-masing. Tetapi kedua-duanya bergabung membentuk satu ummah dalam pengertian ummah siyasiyyah (umat politik) dalam satu negara, Madinah.

Konsep ummah siyasiyyah dalam Piagam Madinah tersebut dapat dijadikan acuan pembentukan bangsa di Malaysia. Kepelbagaian (kaum, agama dan budaya) boleh terus kekal dengan jati diri masing-masing, tetapi mereka semuanya terpadu dalam ikatan kemalaysiaan (Rukun Negara, Bahasa Kebangsaan, Kebudayaan Kebangsaan, Lagu Kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen, Raja berperlembagaan, dasar ekonomi kerakyatan-kemanusiaan dan kesepakatan-kesepakatan nasional lainnya).

Pembinaan bangsa dengan formula sedemikian itulah yang kita namakan “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Leluhur rantau ini memiliki hikmah kebijaksanaan atau wisdom tersendiri ketika mengungkapkan aspirasi pembinaan satu bangsa yang berlatar kepelbagaian dengan slogan Bineka Tunggal Eka (pelbagai tetapi tetap bersatu).

Khatimah

Agama memang berbeza-beza, dan tidak perlu memaksa-maksa untuk menyamakan perbezaan. Yang perlu ialah memanfaatkan kekuatan nilai-nilai agama masing-masing secara maksimum untuk mendukung penegakan integriti dan pembinaan bangsa. Untuk itu Malaysia memerlukan peningkatan tahap religiosity rakyat.

Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan, harus ditafsirkan sebagai pembinaan bangsa Malaysia yang religius, tetapi terkawal dalam orientasi yang moderat, sihat dan selamat daripada sebarang gejala ekstremisme keagamaan.

Yang pertama harus baharu dalam Malaysia baharu ialah manusianya. Tidak akan ada pembaharuan atau reformasi yang bererti, tanpa pembaharuan manusia Malaysia. Kerana itu memang sudah sewajarnya diutamakan agenda membina karakter manusia Malaysia baharu dengan nilai-nilai keagamaan. Mengisi dan memaknai era baharu bukan hanya dengan mengganti orang lama dengan orang baharu, tetapi dengan membina jiwa dan minda baharu, inventing a new soul.


PROF DATUK DR SIDDIQ FADZIL pengerusi Lembaga Pengarah Institut Datuk Ehsan.

Rencana ini adalah syarahan yang disampaikan pada Seminar Kebangsaan Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional anjuran Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri semalam.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS