Xavier jawab tuduhan 'nepotisme dan kronisme' dalam PKR
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mengulas tuduhan berlaku amalan "nepotisme dan kronisme" membabitkan parti itu di Selangor.
Beliau mengulas dakwaan Syed Badli Shah Syed Osman, yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha AMK Selangor awal hari ini.
"Itu pilihannya sendiri untuk tinggalkan jawatan yang dia telah dicalonkan.
"Sama ada berlaku nepotisme atau apa saja, ini adalah parti yang akan memutuskan," kata Xavier ketika ditanya semasa sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Dalam satu kenyataan selepas peletakan jawatannya, Syed Badli mendakwa terdapat segelintir pemimpin PKR Selangor menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.
Beliau juga menyifatkan demokrasi 'telah mati' dalam PKR apabila hanya 'pengikut kabilah' tertentu diberikan habuan dari segi jawatan politik.
Mengulas lanjut, Xavier berkata tuduhan sedemikian telah dijangkakan menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Katanya, beliau percaya rakyat tidak peduli terhadap politik dalaman PKR berbanding mahu melihat pencapaian kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan.
"Yang paling penting adalah (memenuhi janji-janji kita dalam manifesto PRU14) dan untuk membawa perubahan.
"Saya tidak fikir orang melihat bagaimana ia dilakukan. Orang mahu ia dilakukan.
"Sebagai pemimpin, kita akan menggunakan situasi terbaik yang kita ada untuk menyelesaikan sesuatu dan menyampaikan apa yang telah kita berikan dalam manifesto kita," katanya.

