'HSR mampu jana pendapatan M'sia AS$1.59 bilion setahun'
Para penyelidik Jepun mengatakan Malaysia mampu menjana AS$ 1.589 bilion setahun daripada projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) pada tahun 2030, lebih dua kali ganda AS$ 641 juta setahun yang akan diperoleh dari Singapura.
Kajian para penyelidik daripada Japan's Institute of Developing Economies (IDE) melakukan pengiraan angka menggunakan model simulasi komputer yang dibangunkan oleh institut berkenaan bagi menilai kesan ekonomi HSR.
Angka AS$1.589 bilion adalah kebarangkalian terbaik daripada lima senario yang mungkin berlaku, di mana HSR terdiri daripada perhentian domestik dari Kuala Lumpur ke Iskandar, Johor; perkhidmatan ulang-alik (shuttle) dari Iskandar ke Singapura; dan perkhidmatan ekspres dari Kuala Lumpur terus ke Singapura.
Senario itu mengandaikan pengurangan 50 peratus dalam sekatan bukan perdagangan bagi sektor perkhidmatan.
Dalam keadaan ini, Malaysia berpeluang menjana AS$1.9 bilion daripada sektor perkhidmatan.
Kesan negatif sektor elektronik, pembuatan
Bagaimanapun, sektor lain seperti elektronik dan pembuatan mungkin menerima kesan negatif HSR, dengan manfaat keseluruhan ekonomi berkurangan kepada AS$1.589 bilion.
Satu lagi senario adalah destinasi HSR terus dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan satu perhentian di Iskandar. Dalam keadaan tersebut, Malaysia akan menjana AS$1 bilion setahun, sementara Singapura memperolehi AS$88 juta.
Salah seorang penyelidik mengenai HSR berkenaan, Hayakawa Kazunobo merupakan sarjana tamu di Iseas-Yusof Ishak Institute di Singapura yang menerbitkan kajian itu.
Dua lagi penyelidik kajian itu ialah Pengarah IDE Kamugai Satoru dan Isona Ikomu.
Putrajaya menangguhkan HSR sekarang bagi mencari cara mengurangkan kos projek mega yang dimulakan pentadbiran BN sebelum ini.
Pentadbiran Pakatan Harapan mendakwa HSR akan menelan belanja RM110 bilion dan bukan RM55 bilion seperti yang dinyatakan pada peringkat awal.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dijangka akan berbincang projek ini dengan Singapura bulan ini.

