NGO gesa mufti bersuara dalam isu berkaitan Islam
Sebuah pertubuhan yang menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia menggesa para mufti untuk bersuara dalam isu berkaitan orang Islam di negara ini.
Mereka menyatakan desakan itu dalam satu perhimpunan di Masjid Negara hari ini yang disertai kira-kira 50 hadirin.
Koordinatornya Yahya Long Ali berkata, kerajaan dan pembangkang tidak senada dalam isu berkaitan sensitiviti orang Islam yang menurut mereka tidak diselesaikan sehingga kini.
Beliau berkata, antara isu itu adalah budaya LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender), Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, sekolah tahfiz dan hak institusi Islam dan Raja-raja Melayu.
Mufti adalah satu badan yang tinggi..mereka boleh keluarkan fatwa..kita nak dia berani bersuara dan bertegas dalam soal melibatkan Islam.
"(Mufti) Tak boleh ikut arahan ketua masing-masing," katanya di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur selepas sembahyang Jumaat tengah hari tadi.
Beliau mendakwa wakil sejumlah 30 NGO hadir ke perhimpunan itu, termasuk daripada Wanita Intifada Negara dan Gerakan Pembela Ummah Kedah.
Yahya berkata isu RUU355 dibahaskan sejak pentadbiran BN lagi namun sehingga kini tidak selesai, kerana pemimpin beragama Islam dalam kerajaan dan pembangkang tidak bersatu.

