Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Megat Zaharuddin pengerusi baru Felda
Diterbitkan:  Jul 27, 2018 9:03 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Bekas pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank) Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dilantik menjadi pengerusi Felda menggantikan tokoh veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad, yang meletakkan jawatan Mei lalu.

Menurut laporan The Edge Markets hari ini, lantikan Megat Zaharuddin itu dipercayai untuk tempoh dua tahun.

"Sepucuk surat daripada kerajaan diberi kepada lembaga pengarah Felda minggu ini, menamakan Tan Sri Megat sebagai pengerusi," kata sumber yang dipetik laporan itu.

Sumber itu berkata Megat Zaharuddin tiba di menara Felda pagi ini dan bertemu pengarah dan pasukan pengurusan, termasuk ketua pengarahnya Datuk Ab Ghani Ali.

Katanya lagi, kerajaan kini dalam usaha menstrukturkan semula lembaga pengarah Felda dan akan menamakan beberapa pengarah baru tidak lama lagi.

Megat Zaharuddin menjadi pengarah Maybank sejak Oktober 2009 dan meletakkan jawatan pada Mac 2017.

Mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat, beliau antara lain pernah menjadi pengerusi Maxis Communications Bhd dan Lembaga Getah Malaysia.

Felda antara agensi kerajaan yang paling menarik perhatian ekoran isu pemindahan tanah hak milik Felda di Jalan Semarak menerusi transaksi meragukan serta dakwaan penyelewengan dalam anak syarikatnya Felda Global Ventures.

Shahrir dilantik menjadi pengerusi menggantikan Tan Sri Isa Samad pada Januari 2017, dikatakan untuk memulihkan keadaan agensi itu.

Beliau meletakkan jawatan pada 14 Mei lalu, beberapa hari selepas kekalahan BN dalam PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS