Berita Malaysiakini

'Islam tak galakkan lelaki pertengahan umur kahwin kanak-kanak 11 tahun'

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Islam tidak membenarkan perkahwinan antara individu berumur 41 tahun dengan kanak-kanak berumur 11 tahun, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kadar tinggi perkahwinan kanak-kanak di negara ini ditunjukkan oleh kes kontroversi baru-baru ini berhubung perkahwinan kanak-kanak 11 tahun dengan lelaki 41 tahun.

"Jika ini bentuk perkahwinan kanak-kanak, Islam pun tidak menggalakkannya.

"Orang selalu memetik (perkahwinan) Nabi Muhammad dan Aisyah sebagai contoh tetapi itu kes yang sangat terpencil, malah usia sebenar Aisyah juga menjadi perdebatan," katanya ketika wawancara bersama stesen radio BFM pagi ini.

Aisyah lazimnya dikatakan dinikahkan dengan Nabi Muhammad pada umur enam atau tujuh tahun. Tetapi ada juga cendekiawan yang mengatakan usia Aisyah ketika peristiwa itu sebenarnya sama ada 17 atau 19 tahun.

Asyraf berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau setuju dengan larangan perkahwinan bawah umur.

Walaupun tidak setuju dengan perkahwinan seumpama itu, bekas timbalan menteri itu berkata isu larangan terhadapnya tidaklah sejelas yang disangka.

Katanya, ini kerana kebanyakan perkahwinan bawah umur antara remaja berlaku selepas pihak perempuan mengandung luar nikah.

"(Ini berlaku kepada) Orang Islam dan juga bukan Islam (yang berkahwin bawah umur). Untuk menutup aib, pasangan ini dikahwinkan segera.

"Ini tidak betul kerana mereka berkahwin bukan atas sebab yang betul, justeru menyumbang kepada penceraian awal dan masalah sosial lain," katanya.

Ambil kira 3 perkara

Ditanya lagi sama ada perkahwinan bawah umur patut dilarang sama sekali, beliau berkata perbincangan secara holistik perlu dilakukan terlebih dulu.

"Kita tidak boleh hanya kata 'ya' atau 'tidak'. Kita perlu bawa semua pemegang taruh (stakeholders) bersama-sama untuk membincangkannya secara holistik.

"Ada implikasi agama, sosial dan perundangan yang perlu diambil kira," katanya lagi.

Perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak 11 tahun di Kelantan bulan lalu membangkitkan bantahan di kalangan pertubuhan masyarakat sivil dan mencetuskan debat berhubung perkara itu.

Kerajaan kini dalam usaha melarang perkahwinan bawah umur dan meningkatkan had umur kahwin daripada 16 ke 18 tahun.