Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan mahu lebih banyak kesenian Kelantan diiktiraf dunia

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mahu lebih banyak kesenian dari Kelantan mendapat pengiktirafan tinggi di persada dunia.

Timbalan Menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pengiktirafan itu penting bagi meletakkan Kelantan sebagai antara destinasi pilihan pelancong untuk melihat keunikan seni budaya Malaysia.

"Kesenian Mak Yong yang berasal dari Kelantan telah mendapat pengiktirafan dunia di bawah ‘Master Piece of the Oral and Intengible Heritage of Humanity’ oleh badan antarabangsa Unesco pada 2015.

"Ia merupakan suatu pencapaian amat membanggakan seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia," katanya ketika berucap sempena malam kemuncak Festival Kesenian Rakyat Kelate 2018 di Pantai Geting, di Tumpat semalam.

Muhammad Bakhtiar berkata kewujudan lebih 92 pertubuhan berkaitan seni dan budaya di seluruh Kelantan akan menyemarakkan lagi kepelbagaian aktiviti dan kegiatan seni serta budaya negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata industri pelancongan budaya perlu ditingkatkan dan diperhebatkan sebagai sebuah industri yang mampu menjana pendapatan serta peluang perniagaan seterusnya menyumbang kepada hasil negara.

Beliau percaya dengan kualiti produk dan kaedah promosi secara digital akan mampu membantu negara dalam menyumbang ke arah tarikan kehadiran pelancong sebanyak 33.1 juta orang yang disasarkan pada tahun ini, dengan jumlah pendapatan RM134 bilion.

Sementara itu, kumpulan dikir barat Sri Istana dari Tumpat dinobatkan selaku juara Pertandingan Dikir Barat Terbuka 2018 Sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala iringan.

Naib juara dimenangi kumpulan dikir barat Bujang Laksamana dari Pasir Puteh, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala iringan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS