'Tak berasas Najib tuduh saya samakan Islam dengan kleptokrasi'
Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyelar bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'liar dan tidak berasas', Lim menegaskan semua agama mengajar manusia berbuat baik dan berlaku adil, selain membenci rasuah serta 'kleptokrasi'.
Beliau mempersoalkan mengapa bekas pengerusi BN itu membuat tafsiran sedemikan rupa.
"Saya nak tanya bekas perdana menteri Najib Razak, seberapa rendah tahap diri kamu dengan membuat dakwaan liar, palsu dan tidak berasas bahawa saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi.
"Biarlah semua pemimpin Umno dan PAS menuduh saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi supaya rakyat Malaysia akan tahu mengenai keupayaan intelektual dan kegagalan moral mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin veteran DAP itu berkata rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana tuduhan rasuah yang menghantui kerajaan pimpinan Najib.
Ini, kata Lim, termasuk skandal 1MDB di mana bekas perdana menteri kini disiasat.
"Bolehkah Najib beritahu rakyat Malaysia sama ada skandal 1MDB atau 'kleptokrasi global' di Malaysia sejajar dengan mana-mana ajaran Islam atau mana-mana agama hebat yang lain di Malaysia?" soalnya.
Najib menerusi Facebook semalam mempersoalkan kenyataan pemimpin veteran DAP itu dengan mendakwa Lim menyamakan Islam dengan kleptokrasi sekiranya BN menang pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
"Saya tidak faham obsesi Lim terhadap saya sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang saya secara peribadi walaupun saya tidak lagi perdana menteri atau presiden Umno dan BN.
"Tetapi, kenyataan Lim hari ini tentang saya di mana beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi jika BN menang PRK Sungai Kandis adalah melampaui batas.
"Saya tidak akan dapat menghentikan obsesinya terhadap saya namun Lim tidak patut memperlekeh agama saya dan dijadikan bahan kempen politik," kata Najib.

