Terpulang pada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada Majis Penasihat Kerajaan (CEP) akan dilanjutkan melebihi tempoh 100 hari pentadbiran baru, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Itu terpulang pada perdana menteri. Tetapi biar saya tegaskan sesuatu yang mungkin orang sudah lupa.

“Kita menjadi kerajaan baru. (Mahathir) angkat sumpah sebagai perdana menteri, selama dua minggu tiada kabinet.

“Jika kita faham situasi ini, kita akan lebih faham kerana CEP ditubuhkan pada asalnya,” Saifuddin dipetik sebagai berkata oleh The Malay Mail hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas dilaporkan berlaku ketegangan antara CEP yang diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan pemimpin Pakatan Harapan dalam hala tuju beberapa keputusan kerajaan.

Pemimpin Umno Khairy Jamaluddin juga menyatakan kebimbangannya terhadap majlis itu, sambil mempersoalkan ketelusan dan bidang kuasanya.

Beliau berkata Daim telah memanggil dan mengarahkan dua hakim meletakkan jawatan dan berunding dengan China bagi pihak kerajaan.