'Majlis Penasihat tak bergaji, jangan banding dengan PEMANDU'
PARLIMEN | Majlis Penasihat Kerajaan tidak seharusnya dibandingkan dengan Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang kini telah dimansuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Dalam jawapan bertulis parlimen, Liew berkata, tidak seperti PEMANDU, lima anggota dalam Majlis Penasihat Kerajaan bekerja tanpa bergaji atau bayaran sebagai khidmat kepada negara.
Liew berkata demikian sebagai menjawab Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang meminta agar kerajaan menyatakan terma pelantikan dan jumlah kos lima anggota majlis penasihat berkenaan jika dibandingkan dengan PEMANDU.
Liew berkata Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan pada 12 Mei oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak untuk "menasihatkan" kerajaan dalam bidang ekonomi, kewangan dan hal lain yang diperlukan.
"Antara terma pelantikan Majlis Penasihat Kerajaan adalah mereka dipertanggungjawabkan untuk menyediakan draf polisi untuk mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan.
"Justeru, Majlis Penasihat Kerajaan akan bertindak menasihatkan kerajaan dalam tempoh 100 hari sahaja," katanya.
PEMANDU, yang ditubuhkan pada 2009 sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk meningkatkan keberkesanan dasar kerajaan.
Pada satu tahap, PEMANDU mempunyai 100 kakitangan - yang disifatkan Bank Dunia sebagai unit pemantau pelaksanaan dasar paling besar di dunia - dengan menelan kos RM40 juta.
Operasi PEMANDU pernah dikecilkan sehingga akhirnya dihapuskan oleh pentadbiran HARAPAN.
Selama kewujudannya, PEMANDU diterajui oleh salah seorang rakan rapat Najib, Datuk Seri Idris Jala.
Majlis Penasihat Kerajaan pula diterajui oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang merupakan rakan rapat Dr Mahathir.
Beliau dibantu oleh bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, tokoh perniagaan Robert Kuok, pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan bekas ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican.

