Dr M: 7 agensi Kementerian Kewangan disusun semula
Kerajaan kini sedang giat menyusun semula tujuh agensi di bawah Kementerian Kewangan bagi mengelak pertindihan tugas, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tak tahu secara terperinci tapi kita masih menyusun bahagian-bahagian yang akan diletak di bawah kementerian-kementerian kerana kita mempunyai kementerian yang baru dan kita mempunyai usaha untuk mengagihkan tugas-tugas kepada banyak menteri lain.
“Kadang-kadang terjadi pertindihan antara satu kementerian dengan kementerian yang lain maka kita akan betulkan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian selepas diminta mengulas tentang senarai tujuh agensi di bawah Kementerian Kewangan yang dikatakan dalam pertimbangan untuk ditutup, seperti yang tular di laman sosial.
Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
Sementara itu, berkaitan kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia Dr Mahathir berkata pihaknya kini sedang menentukan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana.
“Pegawai kedutaan kita sedang berusaha menentukan keselamatan rakyat kita yang berada di sana dan kita juga ingin memberi bantuan kepada rakyat Indonesia yang menjadi mangsa,” katanya.

