PARLIMEN | Kerajaan kini sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dalam jawapan bertulis parlimen, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya juga perlu mengambil kita dua agensi yang sedia ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard yang sedang menangani aduan terhadap polis.

"Kerajaan akan memuktamadkan cadangan penubuhannya setelah kajian menyeluruh selesai dilaksanakan," kata Dr Mahathir sebagai menjawab soalan Oscar Ling (HARAPAN-Sibu) yang bertanya berhubung IPCMC.

Di bawah 20 perkara dalam manifestonya, Pakatan Harapan berjanji menubuhkan IPCMC dalam penggal pertama mengambil alih kerajaan.

"Semua dakwaan salah laku akan disiasat secara adil dan komrehensif, termasuk dakwaan mengaitkan kematian tahanan," kata dokumen berkenaan.

IPCMC dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005.

Suruhanjaya berkenaan sebelum ini menyorot bahawa terdapat banyak penyalahgunaan kuasa melibatkan polis yang tidak ditangani.

[Baca berita penuh]