Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SG KANDIS |  Datuk Lokman Noor Adam hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap pilih kasih terhadap BN apabila mengarahkan bunting mereka diturunkan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa.

Kata calon BN itu ada bunting mereka juga sudah dicantas pagi tadi.

“Dia (SPR) kata bunting sebegini tidak boleh digunakan sebab akan menimbulkan perasaan tidak selesa pada pihak lain dan mohon diturunkan. Ini maklum balas SPR. Apa yang tidak selesa?

“Jika kita lihat dalam pilihan raya lepas, apa bunting yang dipampangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN)?

"Jika anda mahu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dihapuskan, undilah Pakatan Harapan.

“Jadi, kenapa mereka boleh gunakan perkataan ini dan kenapa sekarang kita gunakan perkataan yang hampir sama, SPR kata tidak selesa pula,” katanya.

Lokman berkata demikian kepada pemberita pada program ziarah kasih di Taman Setia, Klang.

Tak pernah bantah

Pagi tadi, Malaysiakini difahamkan antara bunting yang diarahkan turun oleh SPR antaranya berbunyi ‘Dah mansuh GST 6 peratus, muncul pula cukai baru 16 peratus’, ‘Lokman Adam akan tanya pada PH kenapa hari-hari harga barang naik’ dan ‘Undi BN jika mahu kerajaan Pakatan tunai janji’.

Sementara itu, Lokman berkata pihaknya akan meminta SPR untuk mengeluarkan surat rasmi berhubung penurunan bunting berkenaan dan akan mencabar perkara itu di mahkamah.

“Jika benda ini (dakwaan tidak selesa) tidak selesai, saya akan lawan dan saya tidak peduli. Ini tidak adil, maka kita akan lawan,” katanya.

Beliau berkata, BN juga tidak akan menurunkan bunting berkenaan kerana berpendapat tiada unsur fitnah padanya.

Dalam pada itu, Lokman mengingatkan BN tidak pernah mengarahkan HARAPAN untuk menurunkan bunting begitu pada pilihan raya lepas kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Mereka mempunyai hak mereka. Jika mereka berjanji untuk hapuskan GST, silakan. Kita tidak pernah membantahnya,” katanya.

Lihat Komen
ADS