Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Calon jemaah haji yang ditaja Yayasan 1MDB dipilih melalui bahagian-bahagian Umno dan itu menunjukkan wujud elemen politik padanya, kata Datuk Dr Mujahid Yusof.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ia memang jelas bertujuan politik dan menggunakan yayasan berkenaan untuk mendapatkan sokongan.

Katanya proses pemilihan untuk mendapat tajaan Yayasan 1MDB itu dibuat melalui pencalonnan daripada ketua-ketua bahagian Umno.

"Memang jelas ini adalah bertujuan politik dengan menggunankan Yayasan 1MDB, dan kita pun tau apa yang berlaku pada 1MDB," katanya.

Mujahid berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yusun (HARAPAN-Hulu Langat) mengenai pelaksanaan haji tajaan Yayasan 1MDB.

Kata Hasanuddin kaitan tajaan haji dan sokongan kepada Umno itu ada dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) semasa beliau masih menjadi perdana menteri.

"Adakah menteri sedar ramai daripada mereka yang ditaja itu dipilih berdasarkan penyokong parti tertentu yang diberi layanan agar mendapat sokongan undi?" katanya.

Hasanuddin juga menjelaskan amalan haji hanya diwajibkan ke atas seseorang yang berkemampuan namun sebaliknya Yayasan 1MDB menggunakan wang "yang dihutang" untuk membawa kumpulan terbabit ke Tanah Suci.

Mujahid berkata pemilihan calon jemaah haji dikemukakan oleh ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara.

Terdahulu Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) bertanya kepada Mujahid mengenai nasib imam, bilal, ketua kampung dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terpilih untuk mengerjakan haji pada musim kali ini.

Katanya bercakap bagi pihak 1,200 orang yang sudah menerima surat tawaran mengerjakan haji sebelum ini, adakah kerajaan akan memberikan ruang kepada mereka untuk mengerjakan rukun kelima Islam itu.

Menjawabnya Mujahid berkata sejak dilaksanakan pada 2011 hingga 2017 seramai 5,711 orang sudah dibawa ke Tanah Suci melalui tajaan Yayasan 1MDB.

Proses itu katanya melibatkan kos sebanyak hampir RM57 juta.

"Kami yang mewarisi keputusan terdahalu terpaksa mengambil sikap yang baru.

"Justeru program tersebut tak diteruskan bagi musim haji 2018 memandangkan sumber dananya adalah daripada pihak yang berkaitan dengan 1MDB dan ia masih dalam siasatan pihak berkuasa," katanya.

Mujahid juga menggunakan serangkap pantun untuk Ahmad semasa menutup jawapannya:

Bersingsing lengan merapatkan bahu,
Berdiri teguh petualang dicari;
Jangan ditanya yang sudah tahu,
Kelak padah memakan diri.

Lihat Komen
ADS