Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menafikan berlakunya krisis dalam parti dalam proses pemilihan PKR yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Johari yang akan bertanding naib presiden PKR berkata pemilihan itu adalah sebahagian daripada demokrasi bagi memilih pemimpin yang terbaik.

“Kita berada di sini (Dalam PKR) selama 20 tahun, kita telah saling bergelut selama 20 tahun, tidak ada yang berlaku. Kita tak macam pihak lain, selepas bertempur (pemilihan) mereka berpisah.

“Tapi tak dengan PKR, kita berjuang selama bertahun-tahun dan kita OK. Tak kira apa pun hasilnya, kita akan kukuh,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Beliau yang mengakui menyertai pasukan Rafizi Ramli berkata sukar mengadakan pemilihan tanpa ‘kem’ dengan anggota ahli yang ramai.

“Kita berbeza dari pihak (parti) lain, kita tak ada perwakilan. Tapi kita seorang ahli, satu undi, kita bercakap tentang 800,000 orang ahli yang nak mengundi seperti pilihan raya umum (PRU),” katanya.

Rafizi semalam mengumumkan akan bertanding timbalan presiden dan dalam masa yang sama turut memperkenalkan pasukannya, antaranya Johari dan Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.

Rafizi berkata beliau telah mengumpulkan individu yang telah banyak berkorban untuk agenda reformasi sejak 1998 dan berhasrat meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja sebagai bakal presiden parti tetapi sebagai perdana menteri kelapan.

Pemilihan PKR akan berlangsung pada 24 Ogos selama sembilan minggu dan keputusan dijangka diumumkan pada November ini.

Semalam Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujudnya kem dalam PKR.

Beliau juga “menyokong semua pihak” ketika ditanya berkaitan langkah Rafizi yang mahu bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Sementara itu Johari turut mengucapkan selamat berjaya kepada Azmin pada pemilihan kali ini.

“Semoga berjaya, sudah tentu dia ada kem dalam pasukan dia, saya tak tahu siapa mereka itu. Saya pun tak tahu apa posisi yang akan ditandingi Azmin, dia mungkin akan bertanding timbalan atau lebih tinggi dari itu, saya tak tahu.

“Saya hanya boleh cakap pasal team saya iaitu team Rafizi,” katanya.