Azmin nafi dilantik jadi menteri untuk imbangi Anwar
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan spekulasi yang mengatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kuasa kepada beliau untuk mengimbangi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan presiden PKR itu berkata kesetiaanya kepada Anwar tidak boleh dipersoalkan.
"Dr Mahathir merupakan perdana menteri, beliau dalam kerajaan. Beliau bukan anggota PKR.
"Saya sudah bersama Anwar sejak 30 tahun lalu. Sesiapa yang rasional tidak akan mempersoalkan kesetiaan saya kepadanya (Anwar)," kata Azmin kepada Malaysiakini hari ini.
Azmin berkata demikian sebgai mengulas spekulasi yang timbul susulan keputusan Dr Mahathir melantik beliau menjadi menteri hal-eheal ekonomi dengan skop kuasa yang besar.
PKR sebelum ini mengakui nama Azmin tidak berada dalam senarai menteri yang dicadangkan kepada Dr Mahathir.
Azmin juga dilihat berdiam diri dengan rancangannya untuk pemilihan PKR bulan depan ketika terdapat spekulasi lain yang mengatakan beliau mungkin mencabar Anwar untuk jawatan presiden.
Bekas menteri besar Selangor itu pernah menjadi setiausaha politik Anwar dan kekal bersama Anwar selepas Dr Mahathir memecat beliau dari kerajaan pada 1998.

