Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita Umno sokong tubuh jawatankuasa tertinggi hal ehwal Islam

Wanita Umno menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam oleh Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) sebagai langkah tepat untuk memartabatkan institusi Islam.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata tindakan itu perlu memandangkan isu agama Islam begitu hangat diperkatakan sekarang.

Katanya, kebimbangan dalam kalangan orang Islam sudah wujud ketika ini mengenai kedudukan orang Islam walaupun ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kita menyokong penubuhan jawatankuasa ini dalam usaha untuk meningkatkan kedudukan Islam di negara ini.

“Segelintir masyarakat Islam melihat kedudukan agama rasmi mula tergugat bersandarkan situasi politik semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN),” katanya.

Noraini berkata demikian selepas mengunjungi bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Mohd Yusof Abdullah di kediamannya di Jalan Kebun.

Beliau diminta mengulas perkenan Raja-Raja Melayu untuk menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat persekutuan di negara ini.

Jawatankuasa tertinggi itu dianggotai lima anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, manakala Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya.

Yakin Lokman mampu tarik pengundi

Mengulas kempen BN menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Noraini berkata BN optimis dengan keupayaan calonnya, Datuk Lokman Noor Adam dalam menarik sokongan pengundi kawasan berkenaan.

”Saya yakin Lokman berupaya menarik sokongan ramai pengundi di sini khususnya mereka yang kecewa dengan janji HARAPAN yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan,” katanya.

Mengenai kehadiran ramai pimpinan utama HARAPAN menjelang hari terakhir kempen PRK itu, Noraini berkata ia menunjukkan parti itu terancam dan dalam keadaan tergugat.

“HARAPAN dilihat bimbang dengan momentum calon BN selain bimbang dengan kerjasama Umno-PAS secara terbuka,” katanya.

Berhubung arahan penurunan bunting calon BN oleh SPR pagi tadi, Noraini berkata arahan SPR itu menunjukkan ada pihak yang bimbang dengan keterampilan calon BN.

“Saya pelik dengan arahan SPR sebab bahan kempen Lokman boleh dikatakan sopan dan tiada unsur provokasi,” katanya.

Lihat Komen
ADS