PARLIMEN | Kerajaan masih meneliti cadangan menghapuskan tol di lebyh raya negara ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata langkah itu diambil kerana ia melibatkan implikasi yang besar dan perlu diteliti secara holistik.

Kajian itu katanya akan melibatkan pelbagai pihak termasuk pemegang konsesi, pemberi pinjaman dan pasaran saham secara keseluruhan.

"Sehubungan itu kementerian sedang dalam proses perbincangan dengan agensi-agensi pusat dan pihak konsesi bagi meneliti pilihan yang bersesuaian," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Baru yang juga anggota parlimen Selangau memberikan kenyataan itu sebagai menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman).

Terdahulu Che Alias bertanya sama ada kerajaan akan memansuhkan tol lebuh raya seperti yang dinyatakan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

Untuk rekod pemansuhan bayaran tol di lebuh raya memang ada dinyatakan dalam Buku Harapan yang dibentangkan gabungan itu mejelang PRU ke-14.

Bagaimanapun ia bukan terletak di bawah satu daripada 10 janji 100 hari HARAPAN.