Pembangkang yakin speaker mampu kendali dewan dengan tertib
Beberapa pemimpin blok pembangkang dan bebas hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof di bangunan Parlimen.
Kunjungan itu disertai Pengerusi Majlis Anggota Parlimen BN (BNPC), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Ketua Whip BN, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Whip PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Menerusi pertemuan tersebut, beberapa isu telah dibangkitkan bagi memartabatkan lagi dewan yang mulia ini serta memastikan persidangan berjalan dengan lancar.
"Antara isu yang dibangkitkan ialah jawapan bagi pertanyaan jawab lisan yang keluar dalam aturan urusan mesyuarat tidak diterima pada hari yang sama.
"Antara lain, isu yang turut dibangkitkan adalah mengenai susunan soalan yang tidak mengikut ratio jumlah anggota-anggota parlimen antara BN, PAS dan GPS," menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan keempat-empat pemimpin tersebut.
Pada pertemuan itu, kepimpinan blok pembangkang dan bebas juga turut mencadangkan agar sistem giliran yang lebih adil diamalkan bagi agihan soalan tambahan bagi memastikan suara setiap parti dapat didengar di dewan rakyat.
"Pihak kami percaya dengan kewibawaan serta pengalaman yang ada pada speaker, isu-isu berbangkit mampu ditangani dengan baik. Kami juga yakin beliau mampu mengendalikan dewan dengan tertib dan profesional," menurut kenyataan itu.
- Bernama

