NUTP tak setuju antirasuah jadi mata pelajaran
Cadangan memperkenalkan subjek antirasuah di peringkat sekolah adalah lebih sesuai dilaksanakan sebagai sebuah topik tunggal dalam sukatan mata pelajaran sedia ada, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock menjelaskan, antirasuah boleh dijadikan topik baharu dan utama dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral atau Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
“NUTP menyokong 100 peratus cadangan itu, namun bukan dijadikan sebagai satu subjek atau mata pelajaran baharu untuk murid, kerana mata pelajaran yang sedia ada sudah banyak.
Malah pendedahan topik itu juga wajar diperluaskan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dan pengurusan tertinggi dalam sektor pentadbiran,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata walaupun isu rasuah hanya melibatkan golongan dewasa, namun pendedahan keburukan amalan itu wajar bermula dari peringkat bawah.
Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan subjek antirasuah dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral peringkat sekolah.
Saranan itu bagi membolehkan pelajar mempelajari mengenai kesan negatif rasuah selain menanam nilai dan integriti yang baik dalam kalangan generasi muda, sekali gus membantu memperkukuhkan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah.
- Bernama

