Penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan kajian semula Perjanjian Air 1962 tidak merencatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya, katanya, kedua-dua kerajaan melihat isu HSR dan perjanjian air perlu ditangani tetapi tidak seharusnya menganggu gugat hubungan baik dua hala yang sedia ada.

Malah, kedua-dua kerajaan mahu mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara, katanya kepada Bernama pada lawatan rasmi pertama ke negara ini atas jemputan rakan sejawatannya, Dr Vivan Balakrishnan.

Kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada siri lawatan suai kenal Saifuddin selepas dilantik sebagai Menteri Luar baharu pada 2 Julai lalu.

Saifuddin, yang tiba hari ini untuk lawatan rasmi dua hari itu. diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Wisma Putra.

Selepas jamuan tengah hari dihoskan oleh Dr Vivan, Saifuddin mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Menurut Saifuddin, ​​​​​​​projek HSR dan perjanjian air telah dibangkitkan semasa pertemuan dengan Lee dan Dr Vivan.

“ Saya memberi penjelasan terbaik mungkin mengenai kedua-dua isu tersebut.

“ Kami melihat gambaran yang lebih besar...bagi hubungan bilateral, ia masih kukuh dan kami mahu berkerja keras untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya yang dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean, esok.

Mengenai projek HSR, Saifuddin berkata beliau memaklumkan kepada Lee dan Dr Vivan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berkunjung ke sini untuk mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata projek HSR ditangguhkan kerana negara tidak mampu buat masa ini.

Mengenai Perjanjian Air 1962, Saifuddin berkata terdapat klausa dalam perjanjian untuk mengkaji semula perjanjian untuk membekalkan air ke negara itu.

“Saya berpendapat isu cadangan dan cadangan balas mengenai isu bekalan dan rawatan air boleh dibincang dan diselesaikan,” katanya.

- Bernama