Anggota Dewan Undangan Negeri Seri (ADUN) Setia Dr Shaharuddin Badaruddin tidak kritikal atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) seperti dilaporkan malam tadi.
Sebaliknya, kata seorang pegawai kanannya yang memetik pihak keluarga, Shaharuddin hanya berehat selepas menjalani rawatan.
“Mengikut nasihat doktor, beliau akan bercuti dan berehat selama sebulan sebelum kembali bertugas semula,” kata setiausaha kanannya Zafrullah Aris.
Exco agama, pendidikan dan modal insan itu juga telah memaklumkan kepada menteri besar Selangor mengenai perkara itu, menurut Zafrullah lagi.
“Oleh itu, pihak keluarga berharap agar pihak media dan orang ramai dapat menghentikan spekulasi dan khabar angin mengenai keadaan YB Prof Dr Shaharuddin,” katanya.
Laporan itu tidak menyebut khusus berkaitan masalah kesihatan dihadapainya.
Malam tadi, Sin Chew Daily melaporkan Shaharuddin yang menghidap barah kolon sedang sakit tenat.
Pada pilihan raya umum ke-14, Shahruddin menang besar dengan mendapat 29,250 undi. Beliau mengalahkan calon BN Yusoff M Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS dengan 4,563 undi dan calon bebas S Vigneswaran dengan 217 undi.
