Cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 18 kepada 21 tahun tidak dapat dilaksanakan buat masa sekarang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha bahagian pendaftarannya Yusniati Ishak berkata kekangan tersebut tertakluk bawah Perlembagaan Persekutuan.

"SPR melaksanakan tugas berdasarkan kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebarang cadangan untuk menurunkan had umur mengundi melibatkan pindaan kepada undang-undang, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, tidak boleh tiba-tiba nak buat sebab ia tertakluk kepada perlembagaan dan termaktub di dalam Akta Pilihan Raya 1958,” katanya kepada pemberita di SPR Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah berkata kerajaan bercadang untuk membuat pindaan undang-undang dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Cadangan mengubah usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun itu antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Yusniati berkata, Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan umur mengundi 21 tahun ke tas perlu dipinda.

”Ia akan mengambil masa yang lama dan bila undang-undang itu dipinda baru SPR boleh laksanakan,” katanya.

Terdahulu, SPR mengadakan sesi taklimat mengenai proses penyediaan daftar pemilih tambahan setiap suku tahun kedua 2018, di SPR Putrajaya.

Sesi taklimat tersebut dibuat selepas SPR menerima sebanyak 73,808 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 22,678 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

Pada sesi taklimat itu juga hadirin dibawa ke pameran peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST2/2018 yang mula dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos 2018 di 961 tempat-tempat pameran di seluruh negara.

Hadir sama pada sesi taklimat tersebut adalah pemangku pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Lok Yim Pheng dan Naib Presiden Kelab Pemikir Politik Nasional, Rafidi Yaakub.