Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan jenayah Switzerland buru dua pegawai 1MDB
Diterbitkan:  Jul 31, 2018 2:39 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Penyiasat Switzerland dalam kes siasatan jenayah berhubung urusan 1MDB sedang mencari dua rakyat Malaysia berkaitan dengan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Menurut Bloomberg, kedua-duanya dinamakan sebagai "T dan L" dan hanya boleh dikenal pasti demikian mengikut undang-undang Switzerland.

Difahamkan bahawa kedua-dua huruf itu melambangkan Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan yang juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut laporan itu, kedua-dua mereka sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah.

Pihak berkuasa Swiss memburu pasangan itu sejak 10 Julai lalu selepas pertemuan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber dengan rakan sejawatnya di Putrajaya.

Bloomberg melaporkan bahawa kedua-dua Tang dan Loo tidak disenaraikan dalam rekod telefon awam dan organisasi berita itu tidak dapat menghubungi mana-mana peguam atau wakil mereka.

Loo digambarkan sebagai "perantara utama" antara 1MDB dengan Goldman Sachs, yang kini disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat atas peranannya dalam membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion antara 2012 dan 2013.

"Kami tidak tahu sama ada sesetengah dana itu mungkin telah dialihkan untuk tujuan lain, anggota kerajaan Malaysia atau yang lain," kata Edward Naylor, jurucakap yang berpangkalan di Hong Kong, kepada Bloomberg.

Goldman Sachs memperolehi komisen sebanyak AS$600 juta daripada perjanjian itu.

Bagi Tang, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa bahawa beliau memesongkan bank dan menyembunyikan fakta tertentu mengenai lembaga pengarah 1MDB dalam usaha memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang dipercayai dimiliki oleh Low Taek Jho.

Lihat Komen
ADS