Perundangan berhubung pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan memperkenalkan hukuman lebih berat kepada pihak yang mengelak membayar cukai.
Menurut Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, pihak yang berulang kali mengelak membayar cukai atau membantu pihak lain berbuat demikian boleh berdepan dengan hukuman empat tahun penjara jika disabitkan bersalah berbanding Cukai Jualan 1972.
Di bawah Seksyen 43A Cukai Jualan 1972 yang kini sudah dimansuhkan, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara di bawah Seksyen 86(2) Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, pihak yang pertama kali membuat kesalahan itu akan didenda antara 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau sehingga lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan kali kedua akan berdepan denda 20 hingga 40 kali jumlah cukai jualan atau sehingga tujuh tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, Seksyen 86(3) mengemukakan denda tetap antara RM50,000 hingga RM500,000 jika jumlah cukai yang dielakkan tidak dapat dipastikan.
Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 turut menyatakan hukuman lebih berat kepada pihak yang bersubahat.
Di bawah Seksyen 86(4), pihak yang didapati bersalah boleh berdepan denda antara RM2,000 hingga RM20,000 atau sehingga tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sebaliknya, Seksyen 44 Cukai Jualan 1972 mengenakan denda sehingga RM5,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan sama.
Hukuman sama digariskan dalam Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 digunakan sebelum ini dalam Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018.
Kedua-dua rang undang-undang itu dibentangkan di parlimen hari ini untuk pembacaan kali pertama sebagai langkah perundangan untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
Sekiranya diluluskan, perundangan baru akan membenarkan kementerian menerapkan tarikh sistem cukai baru dikuatkuasakan melalui penggazetan.
Putrajaya sebelum ini memberi gambaran untuk memperkenalkan 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan bermula September.
