Isu 'bin Abdullah': Kerajaan digesa bendung diskriminasi kanak-kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bertindak mengikut kepentingan kanak-kanak berhubung isu 'bin Abdullah'.
Kenyataan Suhakam itu susulan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertegas agar kanak-kanak yang lahir tanpa pernikahan tidak boleh menggunakan nama bapanya dan perlu menggunakan "bin Abdullah".
"Suhakam ingin mengetengahkan bahawa penafian hak kanak-kanak untuk menggunakan nama bapanya oleh JPN atas sebab apa sekalipun sama ada agama, budaya atau masyarakat menafikan hak asasi kanak-kanak itu dan memberi kesan seumur hidup dan memalukan kanak-kanak itu; mendiskriminasi kanak-kanak luar nikah sama dengan mendiskriminasi kanak-kanak yang tidak bersalah," kata Pengerusi Suhakam Razali Ismail dalam kenyataan hari ini.
Jelas Razali, semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang kelahiran mereka perlu dibenarkan menjalani kehidupan normal dan dilindungi daripada diskriminasi sosial dan perundangan.
Tambahnya, setiap kanak-kanak luar nikah juga mempunyai hak untuk menggunakan nama bapanya.
"Suhakam menekankan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak dari segi ekonomi, sosial, dan kemudaratan lain yang disebabkan oleh diskriminasi undang-undang," katanya.
Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu memutuskan JPN bertindak tidak rasional apabila bertegas untuk mengikut peraturan menamakan anak-anak di luar nikah sebagai 'bin Abdullah' kerana JPN berada di bawah undang-undang awam.
JPN kini dalam proses rayuan untuk keputusan itu dan Mahkamah Persekutuan akan mendengar perbicaraan kes itu pada 18 Oktober.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.