Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea) menyangkal kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa industri kereta Malaysia masih di peringkat 'bayi'.

Ahli ekonomi Ideas, Adli Amirullah menegaskan Proton dan Perodua masing-masing telah berada di pasaran selama 33 tahun dan 24 tahun.

"Perodua sendiri telah berkembang dengan pesat sehingga kini mempunyai pasaran tertinggi pada 39.8 peratus bagi kenderaan penumpang dan jualan sejumlah 204,887 unit pada 2017 sahaja yang melampaui semua kereta import.

"Proton ketiga selepas Honda, dengan menguasai 13.8 peratus pasaran bagi kenderaan penumpang dan 70,991 unit dijual pada tahun 2017. Fakta ini membuktikan terdapat kelemahan dalam hujah industri ini masih 'bayi'. Berapa lama industri automotif kita mesti dianggap 'bayi''?" Katanya dalam satu kenyataan.

Adli berkata demikian mengulas rancangan Mahathir menyekat kereta import dan memperkenalkan kereta nasional baru dalam masa terdekat.

Mahathir berkata kerajaan kini mempertimbangkan untuk mengetatkan peraturan pengimportan kereta asing dalam dasar automatif kebangsaan yang baru.

Katanya, ini bertujuan bagi melindungi industri kereta  tempatan.

Mengulas lanjut, Adli berkata dasar automotif pada masa depan masih tidak menentu.

"Kerajaan harus jelas mengenai rancangannya untuk dasar automotif. Standard  teknikal bagi kereta import untuk memastikan keselamatan penumpang dialu-alukan tetapi sekatan untuk perdagangan, termasuk cukai dan duti yang dikenakan untuk melindungi industri domestik Malaysia harus dielakkan, "katanya.

[Baca berita penuh]