'Desakan G25 agar Ali Hamsa letak jawatan pandangan mereka sendiri'
Desakan kumpulan bekas penjawat tinggi awam, G25 agar Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa meletakkan jawatan secara terhormat adalah pandangan mereka sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah
Jelasnya, lantikan tertinggi dalam hierarki Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) itu merupakan bidang kuasa perdana menteri.
“Sekarang memang adalah kita dapat (dengar) sana sini desas desus rungutan tetapi secara keseluruhannya PTD telah memberikan khidmat yang berterusan sejak kami (Pakatan Harapan) menang Pilihan Raya Umum,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Wan Azizah berkata demikian mengulas desakan G25 yang agar Ali Hamsa meletakkan jawatan secara terhormat.
Gesaan itu dibuat selepas timbul publisiti buruk dan kritikan kepimpinan baru terhadap perkhidmatan awam negara.
Kumpulan itu berkata, semua kakitangan kerajaan akan menghargai “pengorbanan” Ali bagi memberi laluan kepada KSN baru mengembalikan semula reputasi perkhidmatan awam.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata terdapat penjawat awam tidak memberikan komitmen kepada agenda reformasi kabinet kerana masih setia kepada pemimpin lama.
Perkara itu, kata Mahathir, menyebabkan sukar untuk pentadbiran baru mempercayai mereka untuk melaksanakan dasar-dasar pembaharuan yang mahu diperkenalkan.
'Lantikan dalam Khazanah untuk cari pelaburan'
Sementara itu Wan Azizah berkata pelantikan Dr Mahathir dan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Bhd dilihat tidak bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).
“(Pelantikan itu juga) untuk dapatkan pelaburan,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan pelantikan lima Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd baharu dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi.
Turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.
Bagaimanapun, pelantikan tersebut dipertikaikan sesetengah pihak kerana ia bertentangan dengan manifesto HARAPAN pada pilihan raya umum lalu.
Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga merupakan Presiden HARAPAN bagaimanapun berkata, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat gabungan itu yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Tapi sekarang ini perdana menteri telah membuat keputusan (untuk) menjalankan, mengurus supaya tahap ekonomi negara kita baiki,” katanya.

