Ketua jabatan di sebuah hospital yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih telah mengambil cuti.

Memetik sumber, MStar melaporkan pegawai kanan perubatan itu telah dimaklumkan supaya bercuti susulan laporan media berhubung dakwaan gangguan seksual berkenaan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian akan menubuhkan Badan Penyiasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual ke atas doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Badan tersebut akan menggabungkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi kerajaan berkaitan untuk tujuan tersebut.

KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, verbal, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat emel drdzul@moh.gov.my

Pada Ahad, The Star melaporkan kes melibatkan gangguan seksual dan buli oleh seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Akhbar itu turut mewawancara beberapa pegawai perubatan mengenai pengalaman mereka dengan seorang doktor ketua jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang itu yang mendakwa sering kali menggunakan kuasa dan autoritinya bagi mensasarkan para pegawai perubatan wanita muda.

Seorang pegawai perubatan mendedahkan lelaki tersebut cuba membuka butang baju dan menciumnya selepas memanggilnya untuk berbincang mengenai hal berkaitan kerja.

Individu yang sama, dakwa doktor muda itu memintanya untuk keluar minum bersamanya dan kemudian cuba menyentuhnya dalam keadaan tidak sopan.

Pegawai perubatan itu juga mendakwa ketua jabatannya itu mengancam untuk menggagalkan ujian komponen bukan akademik jika beliau tidak menuruti kemahuan lelaki berkenaan.