PARLIMEN | Ketika penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat semalam, Menteri Pendidikan Maszlee Malik menjelaskan isu bantuan kewangan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang menjadi perhatian ramai.

Beliau berkata keutamaan kerajaan tetap kepada sekolah bawah kementerian pendidikan tetapi sekolah-sekolah persendirian boleh membuat permohonan bantuan pembangunan.

"Ramai yang telah salah faham dan sengaja membuat salah faham berhubung isu ini. Kementerian mengutamakan peruntukan kepada sekolah bawah kementerian terlebih dulu, terutama sekolah daif dan ular bandar.

"Pun begitu bagi sekolah persendirian, sama ada SMPC atau sekolah persendirian agama, sebarang permohonan bantuan pembangunan boleh dipertimbangkan dan akan diputuskan Kementerian Kewangan atau Unit Perancang Ekonomi (EPU), tertakluk kepada keadaan ekonomi semasa," katanya.

"Sejauh sama saya komited untuk membantu sekolah agama, saya juga akan turut membantu sekolah lain, sama ada SMPC atau sekolah persendirian lain untuk memastikan mutu pendidikan terjaga," katanya lagi.

Isu itu timbul selepas dua wakil rakyat DAP yang membidas Maszlee kerana tidak memberikan peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Sehari kemudian, beberapa akhbar Cina melaporkan anggota parlimen Simpang Renggam berkata peruntukan kepada SMPC akan dimasukkan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan dan perbincangan akan dibuat dengan kementerian kewangan "bagi memutuskan keperluan dan bentuk peruntukan".

Beliau juga dilaporkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap SMPC.

Kenyataan itu dilihat beberapa pihak sebagai 'janji' kerajaan untuk memberi peruntukan kepada sekolah itu.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan misalnya berkata ia bukti kerajaan HARAPAN tunduk kepada DAP.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula menggesa sekolah persendirian agama turut diberi bantuan serupa dan menegaskan bantuan kerajaan perlu diutamakan kepada sekolah persendirian yang mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam penggulungannya, Maszlee juga menafikan dakwaan kementeriannya bersikap berat sebelah dengan mengabaikan sekolah agama.

Selain peruntukan kepada sekolah agama yang berdaftar bawah kerajaan, beliau berkata kementeriannya juga telah mengumumkan bantuan seperti tawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kepada pusat tahfiz terpilih serta pakej latihan bagi memastikan tahfiz mempunyai guru terlatih.

"Kerajaan tidak akan sesekali mengenepikan pendidikan Islam, malah saya sendiri lepasan sekolah agama."

Tak akan contohi Lee Kuan Yew

Sementara itu, Maszlee juga berkata "tidak akan mengikut" bekas perdana menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew yang memastikan hanya satu aliran saja dalam sistem pendidikan negara itu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) sama ada kerajaan akan menutup sekolah jenis kebangsaan yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan.

"...Atau kerajaan ada dasar baru, barangkali nak tukar seperti Lee Kuan Yew yang tutup sekolah (vernakular) dan bina satu aliran di Singapura," katanya (gambar) yang juga bekas menteri pendidikan.

"Kita tidak akan mengikut Lee Kuan Yew," jawab Maszlee sambil menegaskan kerajaan komited untuk memastikan sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama rakyat.

Maszlee memetik Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang memberi kuasa kepada menteri pendidikan untuk menubuhkan serta menyenggara sekolah jenis kebangsaan.

"Takut hapus sekolah Cina, Tamil saja. Kalau kekal okey-lah," kata Mahdzir selepas itu.

Sebelum ini, ketika menjawab tanggapan perpisahan kaum melalui sekolah pelbagai aliran, Maszlee berkata beliau mahu meningkatkan mutu sekolah kebangsaan sehingga secara sendiri menjadi pilihan semua golongan masyarakat.