Pegawai SPR jejaskan reputasi Malaysia, dakwa MP
PARLIMEN | Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Md Yusop Mansor didakwa memalukan reputasi negara ini diperingkat antarabangsa selepas mengatakan pilihan raya umum Kemboja “sangat telus”, “demokratik” dan “boleh dipercayai”.
Anggota Parlimen Subang Wong Chen dan Charles Santiago berkata, ini disebabkan pilihan raya itu telah dikutuk oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sebagai tidak bebas dan tidak adil, palsu serta tidak demokratik.
“Kami sebagai anggota Asean Parliamentarians For Human Right (APHR) sangat tidak berpuas hati bahawa seorang pegawai Malaysia telah mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya ini,” katanya pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.
Mereka berkata demikian merujuk kepada siri tweet oleh koresponden Channel News Asia, May Wong yang memetik pemantau pilihan raya dari Malaysia, Rusia dan India yang mendakwa pilihan raya itu adil.
Wong memetik Md Yusop berkata proses itu "sangat telus", "sangat adil", "demokratik" dan "boleh dipercayai".
Pegawai SPR wakil kerajaan atau peribadi?
Ahad lalu, parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mendakwa memenangi kesemua 125 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum negara itu yang berlangsung pada 29 Julai lalu.
Jurucakap Parti Rakyat Kemboja (CPP), Sok Eysan berkata, parti tersebut memperoleh sebanyak 77.5 undi dan memenangi kesemua kerusi parlimen.
Beliau memberitahu bahawa parti lawan tidak menang sebarang kerusi parlimen dalam pilihan raya yang diadakan.
Namun, keputusan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa kumpulan hak asasi manusia, AS dan negara barat yang lain.
Mengulas lanjut, Charles dan Wong Chen menuntut penjelasan daripada kerajaan sama ada Md Yusop berada di Kemboja mewakili kerajaan Malaysia atau dalam kapasiti peribadi.
“Dan sama ada apa-apa tindakan akan diambil terhadapnya,” katanya.
Mereka turut mengingatkan kerajaan agar segera memperbaharui SPR bagi memastikan semua ahli SPR benar-benar komited kepada pilihan raya yang terbuka, bebas dan adil di negara ini.
“Kami akan mengadakan dua pilihan raya kecil dalam beberapa minggu ini dan SPR mesti membuktikan kepada rakyat bahawa ini adalah sebuah institusi yang telah direformasi dan boleh dipercayai,” katanya.

