Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Israel penjarakan penyair Palestin kerana 'menghasut'

GLOBAL | Sebuah mahkamah Israel pada Selasa telah menjatuhi hukuman penjara lima bulan ke atas seorang penyajak Palestin, Dareen Tatour, kerana menulis dan memuat naik sebuah sajak yang mengkritik pendudukan Israel di media sosial, lapor agensi berita China Xinhua.

Tatour, yang berasal dari Al-Reineh berhampiran Nazareth di utara Israel, didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Israel di Nazareth kerana "melakukan hasutan dan menyokong sebuah organisasi pengganas."

Wanita itu berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan mahkamah namun mengecam hukuman yang disifatkannya sebagai "tidak adil."

Tatour berkata "tidak ada alasan untuk membicarakan saya sebenarnya," serta menyifatkan penahanan serta pemenjaraan beliau oleh Israel sebagai bermotifkan politik.

"Demokrasi adalah terhad kepada satu bangsa di negara ini," katanya merujuk kepada diskriminasi terhadap penduduk berbangsa Arab di Israel.

Tatour telah menghabiskan masa selama beberapa bulan dalam penjara sebelum diletak di bawah tahanan rumah pada Januari 2016.

Beliau kemudian dibenarkan kembali ke rumah keluarganya namun hukuman tahanan dalam rumah diteruskan sehingga perbicaraan kes itu berakhir.

Tatour, yang ditahan pada 1 Okt 2015, telah didakwa pada November 2015 atas pertuduhan "menghasut ke arah melakukan keganasan dan menyokong sebuah organisasi pengganas."

Hanan Ashrawi, seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pada Selasa mengutuk hukuman yang dijatuhkan ke atas Tatour.

"Tatour telah menggunakan haknya dalam kebebasan bersuara serta membantah kekejaman dan pendudukan tentera yang suka berperang," kata Ashrawi dalam satu kenyataan.

"Namun Israel menuduh penyajak itu melakukan hasutan, sedangkan pendudukan (Israel) adalah satu bentuk hasutan yang paling teruk," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS