Azmin: K'jaan akan anjur kongres agenda bumiputera
PARLIMEN | Kerajaan akan menganjurkan sebuah kongres bagi membincangkan agenda bumiputera dan dalam masa yang sama memastikan keadilan agihan kekayaan kepada kaum bukan bumiputera.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan hal itu dalam penggulungan perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
"Saya pun nak satu kongres masa depan bumiputera bumi dan negara akan diadakan masa terdekat di mana kita akan himpunkan pakar-pakar ekonomi daripada pelbagai sektor.
"Untuk membincangkan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan kedudukan bumiputera dan pada masa sama menjamin distributive justice (keadilan pengagihan ekonomi) kepada kaum-kaun yang lain," katanya.
Beliau berkata bumiputera masih belum dapat mencapai sasaran 30 peratus ekuiti dalam sektor korporat.
"Pemilikan bumi di sektor korporat masih tidak capai 30 peratus pemilikan ekuiti.
"Pendapatan purata isi rumah bumiputera pada 2016 adalah rendah, iaitu RM6,267 banding bukan bumipuera dengan RM8,213," maklum beliau lagi.
Sektor tenaga kerja mahir
Beliau berkata bukan bumiputera mempunyai sebanyak 36.3 peratus daripada jumlah pekerja mahir daripada jumlah tenaga kerja, yang lebih tinggi daripada rakan bumiputera mereka dengan 29.4 peratus.
Beliau juga mendakwa transaksi pasaran utama hartanah dan komersil bukan bumiputera lebih tinggi daripada bumiputera.
Kerajaan Pakatan Harapan sedang mengkaji Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan sejak tahun 1970-an dan Model Ekonomi Baru (NEM), yang diumumkan pada tahun 2010 untuk memastikan dasar-dasar ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
Azmin mengulangi dasar ekonomi ini akan dimasukkan dalam semakan semula pada pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11, yang akan dibentangkan di parlimen menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata kerajaan telah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas.

