Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS tak sokong HARAPAN di Sg Kandis untuk sampaikan mesej'
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 8:40 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

PAS secara rasminya menyeru penyokongnya keluar mengundi pada pilihan raya kecil Sungai Kandis 4 Ogos ini, tetapi menegaskan parti itu tidak akan menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Dalam konteks PRK Sungai Kandis juga keputusan PAS tidak memberikan sokongan kepada kerajaan PH (HARAPAN) adalah sebagai satu mesej bahawa mereka telah gagal menunaikan beberapa janji manifesto malah gagal memberi jaminan bahawa institusi Islam, Raja-raja Melayu dan kepentingan orang Melayu tidak terancam," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya pemimpin PAS yang menghadiri program di kawasan Sungai Kandis tidak bercanggah dengan pendirian parti.

Beliau juga menyeru pengundi PAS di Sungai Kandis keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak membuat undi rosak.

Terdahulu hari ini, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dipetik berkata tiada arahan daripada parti itu kepada ahli dan penyokongnya yang akan mengundi pada pilihan raya kecil Sabtu ini.

Bagaimanapun, Hashim berkata beliau percaya pengundi PAS akan dapat membuat piihan bijak untuk memilih antara calon BN dan HARAPAN.

Minggu lepas, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz berkata beliau percaya PAS mahu ahli-ahlinya mengundi Umno pada pilihan raya kecil itu, dengan menyebut lima tanda yang menunjuk perkara itu.

Pada PRK yang dijadual Sabtu ini, calon HARAPAN Zawawi Ahmad Mughni akan ditentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas K Murthy.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sg Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu akibat penyakit kanser.

Allahyarham memenangi DUN Sungai Kandis pada PRU14 lalu dengan memperoleh majoriti 12,480 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS