Kerjasama Umno: Majlis Syura PAS tak bincang
Setakat hari ini tidak ada sebarang usaha mahu pun cadangan agar Majlis Syura Ulama PAS mengadakan perbincangan mengenai hubungan kerjasama antara parti itu dengan Umno.
Malah, anggota Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad menegaskan tidak ada perbincangan mengenainya di peringkat entiti tertinggi parti itu.
"PAS tidak ada buat apa-apa keputusan dan setakat ini memang kita tidak akan ada perbincangan tentang kerjasama ini.
"Malahan, apa yang kita putuskan dulu berhubung isu-isu berbangkit, sama ada (penubuhan kerajaan) di Perak atau pun di Kedah tempoh hari memang kita tidak buat apa-apa keputusan (berhubung kerjasama dengan Umno)," katanya kepada Malaysiakini.
Mahfodz berkata demikian mengulas persoalan apakah PAS di peringkat Majlis Syura akan mengadakan perbincangan mengenai hubungan parti itu dengan Umno.
Isu kerjasama antara PAS dengan Umno kembali hangat diperkatakan apabila Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan melalui kenyataan di Facebooknya berkata ketiadaan calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, Sabtu ini adalah kerana parti itu tidak mahu memecahkan undi bagi memudahkan pihak lain yang bertanding menewaskan calon HARAPAN.
Malah, dalam kenyataan Nasrudin itu turut disertai slogan 'Asal Bukan Pakatan Harapan - ABAH'.
Anggota Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali juga dilapor berkata anggota parti itu tidak mempunyai pilihan selain mengundi BN.
Katanya, perkara ini perlu memandangkan PAS menolak Pakatan Harapan kerana didakwa gagal menepati janji manifesto.
Namun, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus menegaskan PAS tidak ada kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya hanya hubungan dari sudut strategik.
Bagaimanapun, ia tampak berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang menggesa anggota parti itu membuat pilihan berdasarkan pertimbangan wajar demi kepentingan Islam-Melayu dalam mengundi antara calon PKR dan Umno yang bertanding dalam PRK kali ini.
Mengulas lanjut, Mahfodz tidak menolak kemungkinan bahawa perkara itu akan dijadikan usul pada Muktamar Tahunan PAS yang dijadual berlangsung pada 13 September ini.
Malah, kata Mahfodz beliau tidak akan menyekat sebarang usul yang bakal dibawa perwakilan di Muktamar PAS akan datang.
"Memang kita jangkakan akan ada usul mengenainya pada muktamar akan datang (pada September) di peringkat dewan-dewan dan PAS Pusat.
"Tetapi kita ada jawatankuasa usul untuk menapis usul tersebut sebelum diluluskan untuk dibawa ke peringkat muktamar," katanya.
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 64 dijadual akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 September depan di Terengganu.

