Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menggubal satu rang undang-undang (RUU) bagi mewajibkan setiap pembinaan bangunan baharu menyedia akses kepada internet.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata melalui penggubalan RUU itu, kemudahan akses internet boleh dikategorikan sebagai utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk setiap unit rumah.

“Sekiranya (internet) ia menjadi satu asas hak asasi manusia ia boleh dikategorikan sebagai utiliti… kita juga ada keperluan untuk pastikan semua rumah bersambung dengan fiber.

“Saya juga akan minta bantuan dan sokongan kerajaan negeri supaya kita boleh pastikan semua bangunan pada masa depan ada termasuk dalam syarat-syarat seperti mana keperluan syarat elektrik dan air, juga keperluan untuk sambungan internet,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mencadangkan supaya pemaju perumahan diwajibkan memasang jalur lebar di setiap pembangunan perumahan baharu bagi membantu sasaran liputan jalur lebar lebih meluas dapat dicapai.

Menyifatkan keperluan capaian internet penting pada masa kini dan hadapan, Gobind berharap RUU itu akan mendapat sokongan penuh sekiranya ia dibentangkan.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata sistem aduan penyalahgunaan media sosial akan ditambah baik dengan memperkemas integrasi sistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata lazimnya bagi setiap laporan penyalahgunaan media sosial, pihak polis akan bekerjasama dengan SKMM untuk mencari pemilik akaun media sosial, namun disebabkan masalah integrasi sistem yang lemah antara kedua-dua pihak, setiap satu kes mengambil masa untuk diselesaikan.

“Bayangkan kalau kes melibatkan ugutan bunuh, tak kan nak tunggu seminggu sebelum perkara basic ini diaju kepada polis, saya dah minta penjelasan (SKMM) dan saya dimaklumkan ada masalah (sistem).

“Ini saya sebut di mana kita nak naik taraf sistem siasatan, enforcement dan pemantauan… memang saya akan lakukan itu, saya harap kalau ada cadangan saya terbuka untuk duduk sekali, this is an ever going process,” katanya.

Mengenai cadangan penggabungan Bernama dan RTM, beliau sekali lagi menjelaskan ia akan mengambil kira semua faktor termasuk kandungan siaran dan tenaga kerja.

“Berkenaan pekerja, saya lihat memang ada aduan dibawa, kita ada juga pekerja ‘piecemeal’ di mana mereka kerja sebagai kontrak, dan hidup tak tentu hala, saya dalam peringkat melihat semua, dalam akhir tahun ini kita mungkin boleh bawa sedikit perubahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cadangan pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar akan diteruskan kerajaan dan dibawa ke Parlimen, selain menaik taraf beberapa akta dibawah kementerian bagi membolehkan kesemua akta sedia ada mampu menangani masalah yang timbul akibat perkembangan industri media massa.

- Bernama