Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menganggap BN sebagai parti yang paling gentleman di dunia kerana dapat menerima kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) tanpa perlu menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Satu fakta tengah malam ketika kita kalah walaupun ada pelbagai pilihan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ambil keputusan berlapang dada, kita tak tarik rakyat ke jalan raya.

"Kita tak tuduh SPR, kita bersama rakyat lalui perjalanan di bawah kerajaan baharu," katanya dipetik Sinar Harian dalam ceramahnya semalam.

Di negara lain, tambah Annuar, pertumpahan darah akan berlaku jika mengambil kira parti lawan, Pakatan Harapan menang tipis di beberapa negeri.

Selain itu, tambah anggota parlimen Ketereh itu lagi, BN juga dianggap gentleman kerana tidak perlu mengikat pemimpinnya dengan pelbagai ikatan.

Annuar mendakwa PKR dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) perlu menggunakan wang untuk "mengikat" anggota mereka.

"BN parti gentleman di dunia, kalau PKR ia kena bayar RM10 juta, BERSATU RM20 juta, PAS juga dengan baiahnya, BN tak ikat dengan apa-apa pun saya tahu saya setiausaha agung, tiada surat tiada ikatan itu," katanya dipetik sebagai berkata.

Pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu menyaksikan kekalahan BN yang membawa kepada pertukaran kuasa kerajaan persekutuan pertama kali dalam sejarah politik Malaysia.