Pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan akan dilantik sebagai pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad.

Memetik sumber portal The Malaysian Insight (TMI) mendakwa pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi itu akan dibuat seawal hari ini.

"Shahril akan mendapat jawatan utama Khazanah," kata satu sumber, manakala sumber yang lain memberikan pengesahan kepada TMI.

Sementara itu The Edge Financial Daily juga melaporkan Shahril dikaitkan dengan jawatan berkenaan ekoran peletakan jawatan Tan Sri Azman Mokhtar yang menyandang kedudukan itu selama 14 tahun.

Shahril, 48, mengetuai KWSP sejak 2013 selepas berkhidmat dengan badan terbabit pada 2009.

Enam nama lain disenarai pendek untuk jawatan timbalan pengarah urusan Khazanah iaitu Tengku Azmil Zahruddin, Ahmad Zulkarnain Onn, Raja Shahreen Raja Othman (CEO Selangor Menteri Besar Inc), Yusof Annuar Yaacob (CEO Deutsche Bank Malaysia), Charon Mokhzani (pengarah urusan Malaysian Industrial Development Finance Bhd) dan Mohd Zafer Mohd Hashim (bekas CEO Bank Pembangunan Malaysia Bhd).

Semua sembilan anggota lembaga pengarah Khazanah - termasuk Azman - meletak jawatan pada 26 Jul lalu dengan alasan untuk membantu melancarkan peralihan pentadbiran di bawah kerajaan baru.

Ia kemudian disusuli dengan pelantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Khazanah manakala Datuk Seri Azmin Ali menjadi pengarahnya.

[Baca berita penuh]