Azmin: PKR tetap kukuh bersatu
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan parti itu kini berpecah kepada dua kumpulan dan menggesa semua pihak agar tidak melayan cerita seperti itu.
Katanya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah berulang kali menyatakan beliau memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan menyeru semua anggota PKR menyokong kepimpinan Dr Mahathir untuk memimpin kerajaan baru Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Azmin berkata demikian sebagai mengulas laporan portal FMT yang memetik sumber bahawa terdapat dakwaan parti berkenaan terbahagi kepada dua iaitu menyokong dirinya, dan satu lagi Anwar.
Sumber mendakwa kebanyakan anggota PKR pada awal penubuhannya melahirkan kebimbangan terhadap Azmin kerana hubungan rapatnya dengan Dr Mahathir.
Kata Azmin isu berkenaan dimainkan sebagai agenda Umno bertujuan memecah-belahkan perpaduan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang semakin utuh.
Sementara itu mengenai pemilihan PKR, Azmin bekata beliau akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
“Saya kata lepas Sungai Kandis,” katanya.
Pemilihan PKR akan berlangsung selama sembilan minggu mulai 24 Ogos dan keputusan dijangka diumumkan pada November ini.

