Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tangkap pegawai BTN didakwa buat tuntutan palsu RM600k

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Sarawak telah menahan 10 individu termasuk empat pegawai dan kakitangan Biro Tatanegara (BTN) kerana disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah kira-kira RM600,000.00 sejak 31 Julai 2018 sehingga semalam.

Sumber memberitahu kesemua suspek iaitu empat lelaki dan enam wanita yang berusia antara 30 hingga 53 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam di pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber lagi, pegawai dan kakitangan BTN tersebut dipercayai telah bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

Salah seorang daripada pemilik syarikat tersebut didakwa sumber menjadi "runner" bagi beberapa syarikat yang lain.

Jelas sumber lagi, kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016 dan dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka.

“Siasatan awal juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut,” dakwa sumber.

Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihak SPRM Sarawak kini dalam proses mengesan kesemua pemilik syarikat yang terlibat seluruh Sarawak.

Sehingga kini, sembilan pegawai BTN dan enam pemilik syarikat telah ditangkap serta lebih kurang 138 saksi melibatkan 20 syarikat seluruh Sarawak telah dirakam pernyataan.

Katanya, kesemua suspek ditangkap bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua suspek dijangka akan direman di Mahkamah Majistret Kuching pada hari ini.

Lihat Komen
ADS