Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrir Samad mohon batalkan saman Synergy Promenade

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad memohon untuk membatalkan saman fitnah RM100 juta oleh Synergy Promenade Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City.

Peguam, Farah Shuhadah Razali yang mewakili Shahrir berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes pertama mengenai perkara itu dibawa ke hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas di Kuala Lumpur hari ini.

Farah berkata alasan untuk membatalkan saman itu adalah kerana tidak ada asas bagi Synergy Promenade untuk menamakan Shahrir dan bahawa pemfailan saman berkenaan tidak mematuhi prosedur mahkamah.

Beliau berkata peguam syarikat tersebut juga memohon untuk membatalkan pembelaan Shahrir.

"Kami akan membuat pindaan kepada pernyataan pembelaan kami," katanya.

Peguam Priscilla Tan mewakili Synergy Promenade.

Syarikat itu yang memfailkan saman tersebut pada 4 Jun lalu mendakwa Shahrir membuat kenyataan yang mengelirukan (misleading) terhadap mereka antara November 2017 hingga Mac 2018.

Selain ganti rugi RM100 juta, Synergy Promenade itu juga memohon injunksi terhadap Shahrir agar tidak mengulangi kenyataan yang dibuatnya.

Syarikat itu tidak menyatakan kenyataan fitnah yang dimaksudkan mereka, tetapi peguamnya berkata ia bukan saja dilaporkan di media arus perdana, tetapi juga di media atas talian, media sosial dan lain-lain.

Sebelum ini, syarikat itu didakwa memiliki tanah Felda di Jalan Semarak bernilai RM270 juta melalui traksaksi meragukan pada tahun 2015 dan 2016.

Akhbar Berita Harian sebelum ini melaporkan pemindahakn itu berlaku ketika Felda Investment Corporation melantik syarikat itu sebagai pemaju utama.

Pada 5 Januari lalu, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dipanggil memberi keterangan berkaitan perkara itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS