Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hubungan keruh Australia, Mahathir perkara lama'

WAWANCARA | Kerajaan Australia mengenepikan hubungan 'keruh' di masa lalu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini bersedia untuk bekerjasama dengan perdana menteri dan pentadbiran barunya.

"Saya bersedia untuk hubungan positif bagi babak yang mengujakan dalam hubungan antara Malaysia dan Australia ini," kata Menteri Luar Negeri Australia, Julie Bishop dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di Hotel Mandarin Oriental hari ini.

Pada 1993, perdana menteri Australia ketika itu, Paul Keating menggambarkan Dr Mahathir sebagai "keras kepala" selepas Dr Mahathir memboikot Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Seattle.

Bagi Bishop, perkara itu sudah lama berlalu dan situasi sudah banyak berubah.

"Perkara itu sudah lama terjadi dan melibatkan pihak dan parti poltik yang berbeza," katanya.

Dalam tempoh menjadi perdana menteri kali pertama, Dr Mahathir juga mempunyai hubungan tegang dengan Perdana Menteri John Howard berhubung kenyataan Howard bahawa Australia merupakan timbalan sheriff AS di bahagian rantau ini.

Mengulas perkara itu, Bishop berkata Australia tidak lagi melihat negara mereka dalam posisi sebegitu, sama halnya dengan AS.

"Kami tidak melihat Australia dalam posisi itu.

"Dan semestinya AS juga tidak melihat negara kami seperti itu, jadi itu merupakan gambaran yang salah tentang Australia dalam memainkan peranannya di Indo-Pasifik.

"Tumpuan kami adalah memastikan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, dan makmur.

"Itu merupakan keutamaan Australia dan saya anggap ia juga keutamaan rantau ini," katanya.

Bishop yang berada di Malaysia selama tiga hari bagi lawatan kerjanya, sempat bertemu beberapa menteri termasuklah Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan itu membincangkan pelbagai isu, katanya, termasuklah berhubung isu pertahanan dan keselamatan antara kedua-dua negara, selain agenda pembaharuan.

Jelasnya, kerajaan Australia bersedia memberi sebarang sokongan dan nasihat berhubung pembaharuan yang ingin dilaksanakan kerajaan Malaysia.

"Semua menteri yang saya temui meminta pertukaran idea antara Australia dengan melihat contoh apa yang kami lakukan di masa lalu berkaitan pembaharuan ekonomi dan politik.

"Saya percaya akan ada banyak kesempatan untuk pertukaran idea dalam membincangkan pengalaman yang berbeza (antara kedua-dua negara)," katanya.

Ketika ditanya berhubung kos bagi penahanan pelarian Malaysia, Sirul Azhar Umar yang kini berada di Pusat Tahanan Villawood di Sydney, Bishop berkata beliau tidak mempunyai butiran perkara itu.

"Itu urusan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri. Saya tidak mempunyai butiran seperti itu," katanya.

Tambahnya, nasib Sirul dalam jangka masa panjang akan terpulang kepada kerajaan Malaysia sama ada mahu memohon ekstradisi.

Semalam, dalam sidang media Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Bishop berkata pendekatan pihak negaranya berhubung Sirul adalah atas soal prinsip memandangkan ia melibatkan hukuman mati.

Bishop juga menegaskan bahawa Malaysia sehingga kini belum lagi membuat permohonan rasmi untuk mengekstradisi Sirul.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mendapati komando polis Sirul dan Azilah Hadri bersalah dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-duanya.

Kedua-dua mereka ketika itu bertugas di bawah pasukan polis khas dan merupakan pengawal peribadi kepada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Altantuya ditembak mati dan badannya diletupkan dengan bahan letupan tentera.

Azilah kini sedang menunggu hukuman, namun sebelum keputusan mahkamah tinggi dibuat, Sirul telah melarikan diri ke Australia dan kini sedang ditahan sebagai tahanan imigresen.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS