Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Leong Yu Sheng mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya tidak mengabaikan jasa Umno dalam pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal semula oleh Umno merupakan perundangan asas untuk mengiktiraf sijil UEC.

Sebelum pengenalan Akta Pendidikan 1996, Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Penyata Razak 1956 diguna pakai oleh kerajaan dan bertujuan untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan untuk semua bangsa.

Ketika itu, sistem pendidikan kebangsaan dalam Akta Pelajaran 1961 hanya memperuntukkan institusi pendidikan kerajaan atau bantuan penuh kerajaan sahaja.

Setelah pelaksanaan melebihi 35 tahun, Umno telah memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan 1996.

Tindakan ini didorong oleh keinginan kerajaan untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Berbeza dengan akta yang sebelumnya, Akta Pendidikan 1996 telah memasukkan institusi pendidikan swasta (IPS) sebagai kategori baru di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

Institusi pendidikan swasta

Dalam Akta Pendidikan 1996, Sekyen 75 (1) menyatakan bahawa IPS dibenarkan untuk menggunakan bahasa pengantaran selain daripada bahasa kebangsaan dengan syarat mata pelajaran bahasa kebangsaan akan diajar di sekolah itu.

Selain itu, Seksyen 18 (3) juga telah menyatakan sekolah swasta disifatkan telah dipatuhi jika mata pelajaran teras kurikulum kebangsaan diajarkan di sekolah itu.

Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dicetak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2012 turut menyatakan kerajaan berhasrat untuk menambah bilangan IPS supaya lebih banyak peluang pendidikan disediakan.

Akta Pendidikan 1996 merupakan satu akta yang amat inklusif dan bukti bahawa hala tuju pendidikan negara telah mengubah daripada satu aliran kepada pelbagai aliran.

Akta ini bukan sahaja membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah antarabangsa, bahasa Arab turut dibenarkan untuk menjadi bahasa pengantar untuk bagi sesetengah sekolah agama, bahkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

Sehingga hari ini, terdapat 60 buah SMPC, 38 buah sekolah menengah agama dan 211 buah sekolah antarabangsa dengan sijil masing-masing didaftarkan sebagai IPS pada zaman kerajaan Umno.

Tidak salah sekiranya saya menyatakan bahawa Umno yang membina 'rumah' untuk sistem pendidikan kebangsaan, manakala kerajaan HARAPAN cuma menolong dalam penyerahan kunci bilik kepada SMPC sahaja.

Bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996

SMPC, sekolah antarabangsa dan sekolah menengah agama merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan di bawah Akta Pendidikan 1996.

Sijil STAM dan IB yang dihasilkan oleh sekolah menengah agama dan sekolah antarabangsa pun telah lama diiktiraf oleh kerajaan. Himpunan Kebangkitan Ummah yang menolak SMPC dan sijil UEC bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah lama dipinda.

Saya amat kesal dengan pemimpin baik parti pembangkang (Umno dan PAS) mahupun NGO yang tidak membaca dasar dan perundangan negara dengan teliti.

Akibatnya, ucapan oleh pemimpin di himpunan tersebut penuh dengan fitnah dan tohmahan. DAPSY menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan fitnah dan hasutan yang dilakukan oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Himpunan tersebut yang memainkan isu perkauman dan agama jelasnya adalah taktik Umno dan PAS untuk meraih undi bagi pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Buku teks sejarah jadi alat propanganda

Kebanyakan masyarakat umum tidak mengetahui tentang Akta Pendidikan 1996 kerana ia tidak disebut dalam buku teks sejarah SPM.

Hal ini terjadi kerana Umno risau akan kedudukan politiknya digugat atas sebab akta pendidikan baru ini tidak lagi menekankan ketuanan Melayu.

Untuk mengelakkan Umno dilabel sebagai pengkhianat bangsa, Akta Pendidikan 1996 tidak dimasukkan dalam sukatan pelajaran. Selain daripada Akta Pendidikan 1996, banyak peristiwa sejarah seperti Hartal 1947 dan peranan golongan nasionalis kiri dalam perjuangan kemerdekaan yang tidak memihak kepada Umno dipadamkan.

Akhirnya, DAPSY meminta kepada kerajaan HARAPAN supaya mengiktiraf sijil UEC kerana SMPC merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan di bawah kategori IPS.

Di samping itu, jangan kita lupa akan jasa Umno dalam pembentukan sistem pendidikan negara yang inklusif dan menyambut baik kepelbagaian.


Leong Yu Sheng merupakan pengarah Hal Ehwal Varsiti dan pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS