Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SG KANDIS | Datuk Lokman Noor Adam mendakwa PKR mungkin akan mengedarkan duit atau menggunakan politik wang bermula malam ini dalam usaha meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata sehubungan itu beliau mahu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perkara berkenaan.

Malah katanya BN sudah mewujudkan jawatankuasa yang akan memantau pusat daerah mengundi (PDM).

“Ada maklumat perisikan yang kita terima bahawa mulai malam ini atau esok, mereka akan edar duit atau guna politik wang.

“Mereka bercadang mahu melakukan ‘pengeboman’ di saat akhir untuk memastikan mereka menang dengan majoriti yang besar,” dakwanya.

Dakwaan beri kad pengenalan

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di pejabat Umno Bahagian Kota Raja.

Sementara itu, Lokman meminta pengundi khasnya penyokong BN supaya tidak memberi kad pengenalan kepada pihak lawan.

“Kemungkinan besar pihak lawan lihat penyokong kita tidak pasti akan menyokong mereka dan mereka akan mengambil kad pengenalan dan memberikan sejumlah wang.

“Kita berharap tidak ada sesiapa yang terpengaruh walaupun mereka menggunakan duit selain berharap tidak akan mengundi berdasarkan duit,” katanya.

Dua hari lalu, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula membuat laporan polis selepas mengesan wujudnya penyebaran fitnah terhadap beliau menerusi media sosial yang mengatakan beliau menyokong tarian gelek dan didakwa menyalahgunakan wang sekolah.

Pada hari pengundian Sabtu ini, Mohd Zawawi akan ditentang calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K. Murthy.

PRK DUN Sungai Kandis adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Lihat Komen
ADS