Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua polis Gombak ditukar 24 jam kerana gagal banteras judi

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad diarahkan ditukar dalam tempoh 24 jam susulan kegagalannya membendung aktiviti perjudian haram di daerah berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tindakan tersebut tidak terhenti di situ malah akan ada lagi beberapa pertukaran pegawai dan anggota berhubung isu perjudian di daerah lain.

"Saya sudah beri amaran tentang perkara membabitkan isu membanteras judi bukan sahaja di Gombak malah di seluruh negara.

“Arahan demi arahan telah diberi kepada Ketua Polis Negeri, KPD dan pegawai yang bertanggungjawab... sekiranya mereka tidak serius menangani isu judi, kita terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menukar mereka ke daerah lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Seminar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mendepani Cabaran Dalam Kepolisan Moden di Maktab PDRM, Cheras, di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail.

Fuzi juga memberi amaran bahawa beberapa lagi ketua polis daerah akan dipindahkan kerana "mereka tidak membanteras isu perjudian seperti yang diharapkan".

Mengulas lanjut, Fuzi berkata penukaran serta-merta Ali dan beberapa pegawai kanan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak itu diharap menjadi pengajaran kepada pegawai dan anggota polis yang lain.

"Kalau mereka masih berterusan membiarkan keadaan ini (kegiatan judi haram) berleluasa kami akan mengambil tindakan yang serupa,” katanya.

Berikutan itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan 157 ketua polis daerah daripada seluruh negara di Maktab PDRM Cheras, Isnin ini, yang antara lain membincangkan isu kegiatan perjudian haram.

Sabtu lalu, PDRM, dalam kenyataan, mengumumkan Ali dipindahkan ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam sebagai komandan manakala bekas komandan pusat latihan itu, ACP Samsor Maarof dilantik sebagai KPD Gombak yang baharu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS